Sabtu, 19 Mac 2011

Leny 'Ratu' Tupperware

Sumber : utusan online 18/3/11

Leny Masayu Miskimin di premis Tupperware miliknya di Rawang, Selangor.


MENGAMBIL keputusan untuk berhenti kerja seterusnya menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perniagaan bukanlah satu tindakan yang bijak sekiranya tiada keyakinan diri yang tinggi.

Bagaimanapun, bagi bekas pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota ini tidak pernah menyesal dengan tindakan yang dibuatnya.

Ternyata keputusan yang diambil Leny Masayu Miskimin, 35, memihak kepada dirinya apabila perniagaan yang diusahakannya secara sambilan sejak 2007 semakin berkembang dan maju.

Disebabkan itulah, Leny tidak menoleh lagi dan hari ini dia sudah boleh berbangga apabila berjaya membuka pusat perniagaan yang berasaskan produk Tupperware pada Jun tahun lalu.

Menurut Leny, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 11 tahun yang lalu kerana perniagaan tersebut menjanjikan peluang perniagaan yang cerah.

Sebelum terlibat lebih serius dalam perniagaan tersebut, Leny merupakan seorang pengguna setia produk tersebut

"Apabila melihat perniagaan ini menjanjikan peluang perniagaan yang lebih luas, saya berbincang dengan suami dan akhirnya membuat keputusan untuk berhenti pertengahan tahun lalu.

"Peluang sebegini tidak selalu dapat, rugi kalau lepaskan begitu sahaja dan saya ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan yang diusahakan selama ini,'' ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya di Rawang, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai perniagaannya, menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan, ini, pembukaan pusat perniagaannya di Rawang adalah 100 peratus menggunakan modalnya sendiri.

Beliau mengambil keputusan untuk membuka pusat perniagaan Tupperware kerana selain mendapat tawaran daripada pihak Tupperware sendiri, Leny juga sebenarnya mempunyai ramai ahli yang 'bernaung' dibawahnya.

Mengikut Leny, produk Tupperware mempunyai pengikutnya sendiri dan pembukaan pusat perniagaan Tupperware di Rawang memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut untuk mendapatkan produk itu.

"Sejak menjadi ahli produk Tupperware pada tahun 2007, ahli yang bernaung di bawah saya meliputi satu Malaysia.

"Alhamdulillah, selain mencari ahli, ia juga tersebar secara tidak langsung dan sedar tak sedar saya mempunyai ramai ahli.

Disebabkan usaha gigihnya selama berkecimpung di dalam dunia perniagaan tersebut, penat lelah Leny terbalas apabila baru-baru ini dia 'dihadiahkan' sebuah kereta Toyoto Altis apabila berjaya memenuhi sasaran jualan.

Bagi Leny, tiada apa yang mustahil dan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh serta disusuli dengan keyakinan diri yang tinggi, segala pasti berjaya.

Adrian Sukses Bisnes Avon


ADRIAN (tengah) bergambar dengan beberapa wakil Avon yang menjadi sumber inspirasi untuk berjaya.


BEBERAPA tahun dahulu, penglibatan jejaka bernama Adrian Ong, 25, dalam Avon menjadi bahan ketawa rakan-rakannya dek kerana jenama itu sendiri sinonim dengan wanita.

Ada rakan yang mengejeknya dengan panggilan lelaki lembut gara-gara tindakan Adrian yang berjinak-jinak mengedarkan katalog Avon kepada rakan sekerjanya.

"Segalanya bermula apabila saya membeli deodoran bebola di sebuah cawangan Avon di Lahad Datu, Sabah. Wakil Avon di situ mengajak saya untuk menjadi ahli.

"Bagi mendapatkan diskaun pada masa akan datang, jadi saya pun bersetuju untuk menjadi ahli," katanya yang sebelum ini menjadi penyelia di salah sebuah pasar raya di Lahad Datu.

Tambahnya, setiap bulan dia akan ke butik Avon untuk mendapatkan produk-produk yang ditempah oleh rakan sekerjanya.

"Apabila Avon melancarkan kempen Sales Leadership, pemilik butik menyuruh saya mencari lima orang untuk didaftarkan di bawah nama saya dan kemudian dia memberikan saya cek bernilai RM5.75.

"Ketawa besar apabila menerima cek tersebut kerana ia jauh lebih rendah daripada pendapatan yang saya peroleh sebagai penyelia di pasar raya iaitu RM1,500 sebulan," katanya.

Katanya lagi, pemilik tersebut memberitahu bahawa jumlah tersebut akan berganda dan sejak itu Adrian mula menjalankan aktiviti menambahkan ahli.

"Saya pernah mengambil cuti semata-mata untuk merekrut ahli baru. Satu hari saya pernah dapat 16 orang dan ia melayakkan saya memperoleh RM175 hanya dengan mencari ahli baru sahaja.

"Bayangkan, hanya beberapa minit kita boleh buat wang dan tambah pendapatan. Sejak itu, saya berhenti kerja dan mula serius dengan Avon tanpa mempedulikan ejekan hatta, pandangan sinis orang terhadap saya," ujarnya yang turut menggunakan produk Avon.

Walaupun kini, pergaulannya lebih bertumpu kepada golongan wanita, Adrian banyak mempelajari hal-hal berkaitan dengan kecantikan supaya dia tidak kekok berinteraksi dengan pelanggan yang kebanyakannya wanita.

Pada usia 25 tahun, Adrian yang baru setahun lima bulan menceburi Multi-Level Marketing Avon mampu meraih pendapatan RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

"Ia jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan gaji saya sebagai penyelia sebelum ini. Kerjanya pula lebih senang dan tidak stres.

"Jika dulu susah mendapatkan cuti rehat untuk melancong, kini dengan Avon, saya berpeluang melancong ke Surabaya, Bali, Langkawi dan Los Angeles bersama wakil Avon yang lain," kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Hadiah bercuti daripada Avon tersebut bagai suntikan motivasi untuk Adrian memantapkan lagi kariernya bersama Avon walaupun dikelilingi dengan ramai wanita.

Menurut Adrian, kejayaannya hari ini adalah inspirasi daripada kejayaan wanita-wanita Avon di sekelilingnya.

"Kini saya mahu berkongsi kisah kejayaan saya dengan generasi muda yang lain dan mahu mereka menyertai saya.

"Daripada mereka terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang melanda remaja sekarang ini, lebih baik ajar mereka cara berniaga dengan Avon. Sedikit sebanyak ia boleh membantu mereka menjana pendapatan," katanya yang memasang impian memiliki rumah sendiri dalam masa terdekat ini.

Bagi tahun 2011, Adrian berazam untuk mendapatkan pendapatan lebih RM10,000 sebulan selain membantu ahli di bawahnya berjaya.

"Bagi remaja lelaki yang berminat menyertai Avon tetapi malu kerana menganggap Avon adalah untuk wanita anda silap kerana sebagai lelaki kita punya kelebihan sendiri.

"Jika ramai wanita di Avon boleh berjaya, kenapa kita tidak?" katanya penuh semangat.

Dulu Guru, Kini Usahawan




SENYUMAN yang sentiasa terukir pada wajah wanita berusia 46 tahun saat pertama kali bertentang mata, penulis tidak menyangka banyak cerita suka duka di sebalik kejayaan yang dikecapinya.

Ramah, mudah mesra dan tutur kata yang meyakinkan mungkin merupakan aset yang dieksploitasi bagi menempa kejayaan demi kejayaan. Namun, apa yang dimiliki pada hari ini bukan hasil yang digapai dalam sekelip mata.

Banyak babak jatuh bangun dalam drama kehidupannya bergelar ahli perniagaan. Bermula dengan kerjaya sebagai pendidik sehinggalah memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat menjadi ahli perniagaan sepertinya.

Kini, Puziah Saad, 46, anak kelima daripada lapan beradik yang dilahirkan pada 3 Januari 1965 itu menjadi tekong menguruskan syarikat Bella-Z Mutiara Marketing (M) Sdn. Bhd. dengan memegang jawatan sebagai pengarah urusan.

Apa yang dicapai pada hari ini merupakan kesinambungan minat berniaga yang mengalir dalam darahnya sejak kecil. Habis dijajah satu kampung menjual jagung, jambu dan barangan lain bagi membantu kehidupan keluarganya yang susah.

Selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Melaka, Puziah melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dalam jurusan Sains Politik diikuti dengan mengambil Diploma Pendidikan Geografi.

“Oleh kerana keadaan ekonomi tidak bagus, peluang kerja tiada dan pada masa itu saya mengambil keputusan menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Kuala Lumpur dari tahun 1991 hingga tahun 1997.

“Walaupun ketika itu menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru, namun jiwa saya tidak sepenuhnya di situ kerana naluri ingin berniaga lebih kuat dan saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan jualan langsung,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Puziah menceburkan diri dalam perniagaan jualan langsung secara sambilan supaya ia tidak mengganggu tugasannya untuk mendidik. Ketika mula-mula mengajar, Puziah mengadakan kelas tuisyen tetapi apabila menyedari ia tidak mampu memberikan pendapatan yang lumayan dalam masa singkat, ibu kepada tiga cahaya mata itu berhenti mengadakan kelas tuisyen selepas setahun.

Secara sambilan

“Perniagaan mula-mula saya ceburi ialah barangan keperluan rumah, Tupperware pada tahun 1991. Kerjanya tidak susah mana pun kerana barangan seperti ini mempunyai permintaan yang bagus.

“Walaupun buat secara sambilan, saya mampu memperoleh RM2,000 sebulan dan apabila saya lihat ada peluang yang lebih bagus saya terus mengorak langkah menjual produk kesihatan yang jualannya lebih memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PRODUK pelangsing pertama keluaran De Bella, Litchin mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pengguna.


Telahannya tepat kerana jualan produk kesihatan sangat bagus. Dalam masa tiga tahun Puziah melakukannya secara sambilan, dia mendapat pendapatan sebanyak RM20,000 sebulan berbanding gaji guru pada ketika itu, RM1,119 sebulan.

Setelah beberapa ketika, syarikat tempat Puziah bernaung mengalami masalah dan dia kemudian beralih kepada syarikat lain yang menjual produk barangan kemas.

Permintaan produk yang sangat bagus membolehkannya mencipta kejayaan dalam tempoh tiga bulan sekali gus melayakkan menerima sebuah kereta mewah.

“Kekuatan saya adalah dalam bidang pemasaran. Tidak seperti produk kesihatan, produk barangan kemas sukar dijual dan ia memerlukan daya pujuk serta mempengaruhi pelanggan yang tinggi.

“Menjelang tahun 1997, negara dilanda kegawatan ekonomi dan ia memberi kesan kepada perniagaan yang saya ceburi sehingga terpaksa gulung tikar. Sudah tiga kali gagal, saya tidak sanggup nak buat perniagaan dengan orang,” katanya.

Minatnya lebih bertumpu dalam bidang perniagaan. Walaupun mengajar, pada masa yang sama, Puziah menjalankan jualan langsung.

Selepas tujuh tahun mengajar, Puziah tidak mengharapkan rezekinya di dalam bidang pendidikan. Akhirnya beliau nekad memberikan notis 24 jam sebagai guru pada tahun 1998.

“Saya perlu bayar sebulan gaji dan keadaan ketika itu kritikal. Tetapi saya tidak putus asa kerana bagi saya selagi ada akal, keberanian dan semangat, kita masih boleh berfikir untuk berjaya.

“Dengan pengalaman yang ada, tanpa menoleh ke belakang lagi, saya mengorak langkah melahirkan jenama De Bella dengan menggunakan segala kepakaran yang ada dan melancarkan produk ini pada bulan Julai 1998,” katanya yang bermodalkan RM250,000 dengan mencagar rumah dan menjual kereta.

Ternyata usahanya berhasil apabila bulan pertama jualan, Puziah memperoleh RM60,000 dengan permulaan tujuh jenis produk. Beliau dibantu oleh tiga orang staf yang terdiri daripada penjaga kaunter, bahagian pengurusan dan mengurus akaun.

Ia semakin berkembang dan mencatatkan perolehan RM150,000 pada bulan kedua dan akhirnya mendapat pulangan modal dalam masa enam bulan sahaja diikuti dengan keuntungan pada bulan-bulan seterusnya.


AISHAH (dua dari kanan) menggalas tanggungjawab sebagai duta produk pelangsingan keluaran De Bella.


Dalam masa setahun iaitu antara tahun 1999 hingga tahun 2000 hasil jualan mencecah jutaan ringgit. Tidak menafikan bahawa di pasaran mempunyai lambakan produk yang sama, namun De Bella tidak gusar kerana punya pelanggan setia.

Lebih berani

“Sudah menjadi lumrah, dunia perniagaan ada pasang surutnya. Keadaan paling bagus ialah pada tahun 2003 dan tahun 2004 keadaan masih stabil lagi tetapi, pada tahun 2005 hingga tahun 2008 banyak yang berkecimpung dalam bidang perniagaan gagal.

“Sebab itulah pentingnya berjimat dan menyimpan ketika senang kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu yang gemar membaca buku-buku motivasi.

Saat ditanya siapakah idolanya, Puziah memberitahu, dia menjadikan seorang budak sekampungnya sebagai idola.

“Sungguhpun tidak lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kini dia telah bergelar jutawan walaupun hanya bermula sebagai penghantar surat.

“Kejayaan-kejayaan individu seperti inilah yang memangkin semangat saya untuk terus berjaya dan pada masa yang sama saya mahu orang lain juga jadi seperti saya dengan melahirkan usahawan,” katanya.

Puziah sempat menitipkan pesan buat wanita supaya lebih berani dan jangan terlalu bergantung kepada suami.

“Wanita kini perlu lebih berdikari. Andai kata berlaku sesuatu dalam rumah tangga, kita sudah ada sumber pendapatan sendiri,” tegasnya sambil memberitahu 95 peratus daripada pengedar De Bella ialah wanita.

Cacat tak halang Fazer berjaya


Ideanya dicurahkan dalam memberikan rakaman foto yang terbaik kepada pengantin.

Sumber : Utusan online 17/3/11

DIA sememangnya istimewa dan tidak seperti jurufoto biasa. Sentuhan hasil seni daripada kamera SLR digitalnya menjawab tanda tanya akan kebolehan dan bakat walaupun hanya menggunakan sebelah tangan.

Mengorak peristiwa hitam tujuh tahun yang lalu bukanlah igauan baginya untuk meneruskan langkah kehidupan. Baginya kehidupan harus diteruskan dan tiada istilah mengalah pada takdir yang menimpanya.

Muhammad Fazer Ahmad, 25, anak kelahiran Ipoh, Perak itu kehilangan sebelah pergelangan tangan kiri kerana terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu menunggang motosikal.

Pergelangan tangan kirinya digilis oleh sebuah lori treler yang mengakibatkan kesemua jari jemari kirinya tidak dapat diselamatkan lagi.

“Kejadian tersebut sedikit pun tidak memutuskan semangat saya untuk meneruskan kehidupan. Saya harus bangun menerima takdir ini dengan reda. Walaupun sebelah pergelangan tangan kiri saya terpaksa dipotong bukan bermakna saya tewas. Malah berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan saya terus bangun untuk menikmati kehidupan seperti manusia biasa,” katanya.

Menurut Muhammad Fazer kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi. Semangat juang yang tinggi dalam diri anak muda ini telah meletakkan namanya sebaris dengan jurugambar terkenal dewasa ini. Beliau mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai seni yang tinggi.

“Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi pengambaran. Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan bahawa saya mampu memberi saingan kepada mereka yang normal.

“Tidak dinafikan ramai juga yang kurang percaya kebolehan saya setelah melihat keadaan saya sebegini. Namun saya sentiasa berfikiran positif dalam apa jua kritikan, berkat kesabaran saya kini semakin diterima dan mampu memenuhi cita rasa pelanggan saya,” katanya.

Muhammad Fazer yang kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan, majlis rasmi ahli-ahli korporat serta fotografi potret individu dan berkumpulan. Beliau sentiasa inginkan kelainan dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk pelanggannya.

“Saya bukan sahaja merakamkan detik indah seseorang malah lensa saya sentiasa mahukan yang terbaik dari semua sudut terutamanya dalam mengekalkan kreativiti, sentuhan warna dan keaslian imej itu sendiri”, katanya.

Kesungguhan pada sikap yang sentiasa positif terhadap kerjayanya, Muhammad Fazer melangkah setapak lagi setelah mendapat jemputan sebagai penceramah untuk bengkel fotografi. Beliau telah diberi kepercayaan untuk mencurahkan pengalaman dan ketabahannya dalam bidang mencabar ini.

Menurut Muhammad Fazer, ilmu fotografi yang diperolehinya sekarang bukanlah didapati secara pembelajaran yang formal. Berkat ketekunan dan kesungguhannya ingin mencuba sesuatu yang baru tidak mematahkan semangatnya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.

“Saya banyak membuat rujukan dari rakan-rakan senior dan di Internet. Saya bersyukur kerana ramai yang hadir membantu saya mendalami bidang ini.

“Saya begitu terharu kerana saya diberi peluang menerajui seminar fotografi di Kolej Pembantu Perubatan Ulu Kinta, Perak. Saya telah mencuba memberi yang terbaik dan bersyukur saya semakin yakin untuk memperkongsikan ilmu yang saya ada,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut jejaka yang berbakat ini bolehlah melawati blognya fazerahmadphotography.blogspot.com. Anda juga boleh menghubungi Muhammad Fazer di talian 012 496 0306 untuk sebarang tempahan fotografi dalam membantu kerjaya barunya.

Zee Leka Bina Kek

Sumber : Kosmo online 13/3/11

ZEE menghias kek sempena ulang tahun sebuah syarikat swasta di rumahnya yang terletak di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.


DALAM majlis sambutan ulang tahun kelahiran atau majlis resepsi perkahwinan, acara memotong kek dianggap sebagai momen kemuncak yang dinanti-nantikan.

Jika 10 atau 15 tahun dahulu, tradisi memotong atau memakan kek hanya dilihat pada hari-hari istimewa dan masih menjadi pilihan kedua selepas pulut kuning, kini keadaan telah berubah.

Sudah banyak kedai kek atau kafe yang menyediakan hidangan kek untuk masa santai seperti minum petang. Ini tidak termasuk pengusaha yang membakar kek di rumah dan menjualnya di laman maya seperti blog.

Antara individu yang aktif menjual kek di laman maya ialah Zee Helena Abdul Rahman, 32.

Ditegur

Dia yang tidak mempunyai pendidikan khusus dalam bidang pastri atau kulinari memilih untuk melepaskan jawatannya sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat di ibu kota dan mula membakar kek dan menjualnya di blog.

“Saya memang suka ke dapur, lebih-lebih lagi kalau dapat peluang membuat kek.

“Kebetulan, di kawasan rumah sewa semasa menuntut dahulu, ada seorang mak cik yang kerjanya membuat kek.

“Hari-hari saya menghidu bau harum daripada dapur rumahnya.

“ Lantas, saya beranikan diri untuk berjumpa dengan mak cik tersebut dan menyatakan kesanggupan saya menjadi pembantunya.

“Sejak itu, saya akan ke rumahnya tiga atau empat hari dalam seminggu untuk belajar dan membantunya membuat kek,” ujar ibu kepada seorang anak lelaki ini.

Mula fokus kepada perniagaan kek dari rumah sejak dua tahun kebelakangan ini, Zee cuba mengambil sebanyak mana peluang untuk memantapkan hasil kerja tangannya.

“Alhamdulillah, tentang rasa, memang ramai yang kata kek saya tidak terlalu manis, ringan dan gebu. Jika kek buah, ia tahan hingga berbulan-bulan.

“Pernah sekali ada pelanggan tegur bunga hiasan di atas kek nampak kurang stabil. Walaupun teguran itu bukan satu isu besar, saya tidak pandang remeh.

“Saya cari peluang untuk belajar hias kek dan kini sedang menjalani kursus tahap dua menghias kek di International Academy of Color Conciousness (IACC) di Damansara.

“Selepas belajar teknik yang betul, hasil yang diperoleh jauh beza daripada sebelum ini,” ujarnya.

Tidak menolak pandangan masyarakat bahawa kek mudah dihasilkan, Zee memiliki pendapat yang berlainan.

“Mungkin ramai beranggapan kek akan ‘menjadi’ jika adunan bahan-bahannya tepat dan dibakar dengan suhu sepatutnya.

“Namun, sebenarnya, membuat kek tidak semudah itu. Untuk kek yang besar seperti kek perkahwinan atau kek hantaran yang bertingkat-tingkat, kerjanya lebih rumit.

“Cita rasa pelanggan memang berbagai-bagai. Ada pelanggan tidak mahu kek dicampur dengan telur, ada juga yang minta jangan gunakan tepung gandum.

Bertingkat


SELAIN kek perkahwinan dan kek hantaran, Zee juga menerima tempahan kek untuk acara khas seperti kek 1Malaysia ini.


“Ada yang mahukan kek bertingkat yang nampak seperti bercantum dan ada juga yang mahu ia kelihatan terpisah,” katanya yang sering dibantu suami, Muhammad Saufi Maarof, 31.

Menurut Zee, teknik mencantum kek tidak mudah. Jika kek paling bawah tidak dibina dengan betul, ia akan memberi kesan kepada kek-kek lain yang berada di atasnya.

“Untuk membuat lubang pada kek juga tidak boleh sembarangan kerana ditakuti kek akan merekah dan membuatkan kek di tingkat atas tidak stabil,” katanya yang sering mendapat tempahan kek perkahwinan setinggi lima tingkat.

Kagum dengan hasil kreativiti Zee menggubah bunga daripada krim khas, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini amat menjaga kualiti hiasan keknya.

Dia yang minat melukis sejak kecil sedikit pun tidak kekok mencantikkan sebuah kek kosong kepada kek yang mewah dan eksklusif.

Dengan bentuk seperti bantal yang dihias dengan reben besar, ataupun kek tiga tingkat bercantum dengan hiasan ala hidupan marin, Zee akui dia cukup asyik apabila menghias kek.

“Memang sedikit sukar kerana kita perlu berhati-hati terutama ketika menyalut kek dengan krim khas atau doh fondan yang telah dicanai,” katanya.

Memberi tumpuan kepada pasaran di sekitar Lembah Klang, melalui blog cakes.cent2u.com, Zee menyediakan tiga jenis asas kek iaitu kek buah, kek coklat lembap dan kek mentega pada harga yang berpatutan.

“Kek seberat dua kilogram yang dihias secara asas dijual dijual pada harga serendah RM110.

“Jika pelanggan mahu kek dihias dengan tema yang mereka mahukan, harganya boleh dirunding,” ujarnya.

Sabtu, 12 Mac 2011

Alternatif Tuisyen Dalam Talian




ANAK-ANAK umpama kain putih yang perlu dicorak dengan penuh warna-warni agar mempunyai masa depan lebih cerah dan menjadi manusia berguna apabila meningkat usia dewasa kelak.

Titik permulaan bagi memastikan anak-anak mengecapi kejayaan dalam kehidupan mereka adalah menyediakan pelajaran yang berkualiti dan bermutu tinggi di peringkat akar umbi lagi.

Dengan kejayaan diperoleh dalam pelajaran kelak, anak-anak mampu menggapai cita-cita mereka sehingga ke menara gading sekali gus dapat menyumbang bakti kepada negara, agama dan bangsa.

Sudah menjadi satu trend hari ini, ibu bapa tidak hanya menghantar anak-anak menuntut ilmu di sekolah bahkan, melengkap dada anak-anak dengan ilmu tambahan di kelas tuisyen.

Bagaimanapun, bebanan kewangan dan keterbatasan waktu menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa tidak berkesempatan menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas tuisyen yang ditawarkan di luar sekolah.

Menyedari keperluan mengisi kekosongan itu, Integrated Commerce Sdn. Bhd. (ICSB) membangunkan inovasi produk pendidikan alam maya, EasyTuition sebagai kaedah alternatif pembelajaran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pengarah Urusan ICSB, Kamaruzaman Asri berkata, EasyTuition merupakan kaedah tuisyen secara dalam talian mencakupi proses pengajaran dan pembelajaran. Ia dibangunkan untuk memberi alternatif mengurangkan beban kewangan dan pengurusan masa kepada ibu bapa.


PENDIDIKAN bermutu tinggi mampu melahirkan modal insan masa hadapan. – Gambar hiasan.


“Ciri paling utama ditawarkan dalam produk EasyTuition adalah pembelajaran melalui video. Melalui kaedah ini pelajar dapat melihat dan mendengar penerangan topik-topik pembelajaran yang disampaikan oleh guru-guru EasyTuition.

“Pembelajaran secara video ini dijangka mampu menarik minat pelajar untuk mendalami apa yang dipelajari dengan lebih mendalam kerana mereka mempunyai kebebasan membuat ulang kaji beberapa kali hingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Kamaruzaman menjelaskan, pembelajaran secara video yang ditekankan dalam EasyTuition membolehkan pelajar belajar secara berulang tanpa had melalui komputer yang ada akses Internet di rumah masing-masing.

Katanya, video pembelajaran EasyTuition berkualiti kerana sudah disunting dengan memasukkan pelbagai teknik dan elemen multimedia menarik. Ia untuk memastikan pelajar tidak berasa jemu ketika mengikuti kelas tuisyen di alam maya.

“Selain daripada pembelajaran secara video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah, dapat mencuba permainan di akhir topik dan banyak lagi.


TENAGA kerja ICSB bertungkus-lumus menyiapkan EasyTuition.


“Pelbagai bentuk dan format soalan ditawarkan untuk menilai pengetahuan serta mengukur prestasi pelajar-pelajar ini. Soalan juga disediakan bersama jawapan apabila dijawab, diperiksa dan diberikan markah dengan serta-merta melalui dalam talian,” katanya.

Tenaga pengajar berpengalaman

Kamaruzaman menambah, EasyTuition turut menyediakan akses kepada ibu bapa atau penjaga dalam memantau pembelajaran anak-anak di bawah jagaan mereka.

“Dalam sistem EasyTuition, ibu bapa atau penjaga akan diberikan satu akaun khas bagi tujuan memantau prestasi pembelajaran anak-anak secara talian.

“Sebagai contoh, sekiranya mendaftar tiga orang anak, pemantauan prestasi mereka dapat dilakukan hanya dengan menggunakan satu akaun,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar ICSB, Mohd. Sahly Mohamed Sani, berkata, EasyTuition menawarkan tuisyen seawal tahun satu sehingga tingkatan lima.

“Kesemua subjek teras bagi tahap-tahap yang berkenaan ada ditawarkan dalam produk alam maya ini.

“Bahkan, semua subjek ini diajar oleh guru-guru pakar seluruh negara yang begitu komited dan terlatih dalam subjek masing-masing,” katanya.

Mohd. Sahly memberitahu, setiap langganan EasyTuition bukan untuk tiga atau enam bulan sahaja tetapi untuk satu sesi persekolahan.

Sebagai contoh, katanya, jika mendaftar pada bulan Januari, langganan akan aktif sehingga tamat sesi persekolahan dalam tahun yang sama sekali gus dapat menjimatkan kos.

“Sebagai permulaan hanya pakej Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang ditawarkan kepada orang ramai.


PEMBELAJARAN secara alam maya kini mendapat tempat dalam masyarakat.


“Pakej Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka boleh dilanggan pada bulan April, manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula pada bulan Jun,” ujarnya.

Katanya, kesemua pakej pula dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2012.

Sementara itu, perunding pendidikan ICSB, Rosli Shuib menjelaskan, para guru yang dipilih merupakan mereka berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Minimum pengalaman guru tersebut adalah tujuh tahun mengajar malah, ada yang terpilih sebagai guru cemerlang serta guru inovatif peringkat kebangsaan.

“Sehingga kini, seramai 17 orang guru terlibat secara aktif dalam memberi input serta terlibat dalam rakaman pembelajaran,” katanya.

Di samping itu, dia menambah, silibus yang terkandung dalam EasyTuition juga mengikut sepenuhnya silibus sepanjang tahun yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, produk itu juga membolehkan ibu bapa mengikuti penyampaian setiap tajuk di sekolah dan mereka boleh menjadi tutor kepada anak-anak sendiri.

Orang ramai boleh mengakses laman web EasyTuition di www.easytuition.net mulai 1 Januari lalu dan dijual pada harga serendah RM30 hingga RM70 bagi setiap satu subjek untuk setiap sesi persekolahan

Bilionair Mexico Dahului Senarai Manusia Terkaya - Mac 2011

Sumber : Berita harian online 11/3/11

pix_gal0

Forbes dedah orang kaya Asia lebih ramai dari Eropah buat kali pertama


NEW YORK: Rakyat Mexico, Carlos Slim Helú, dengan peningkatan kekayaan AS$20.5 bilion (RM62.52 bilion) mengalahkan 1,209 lagi bilionair termasuk Bill Gates, Warren Buffett dan hartawan besi Britain, Lakshmi Mittal, untuk menduduki senarai teratas bilionair dunia, lapor majalah Forbes.
Pemilik empayar media Mexico itu memiliki kekayaan AS$74 bilion (RM224.5 bilion) untuk terus berada di puncak senarai itu buat kali kedua.
Senarai Forbes menyaksikan bilangan bilionair meningkat sebanyak 214 kepada 1,210 dengan purata kekayaan bersih AS$3.7 bilion (RM11.2 bilion).

Apa yang menarik, buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad, bilangan bilonair Asia mencecah 332 orang berbanding Eropah 300 orang manakala Amerika Syarikat terus mencatatkan bilionair paling ramai iaitu 413.

Pengasas Microsoft, Gates, yang menyumbangkan satu pertiga daripada kekayaan kepada Yayasan Bill dan Melinda, berada di tangga kedua dengan kekayaan AS$56 bilion (RM170 bilion).

Pakar pelaburan, Berkshire Hathaway, berada di tempat ketiga dengan kekayaan AS$50 bilion (RM151 bilion).
Bilangan bilionair di Britain meningkat kepada 32 dengan Duke Westminster, Gerald Cavendish Grosvenor, sekali lagi dinamakan lelaki paling kaya di negara itu.

Walaupun dengan kejatuhan sektor hartanah, pemilik tanah berusia 59 tahun itu meningkatkan kekayaannya sehingga AS$13 bilion (RM40 bilion), menduduki tempat ke 57 dalam senarai 25 orang paling kaya di dunia.

Penduduk warga Britain keturunan India, Laksmi Mittal yang juga usahawan perusahaan besi, kekayaannya AS$31.1 bilion (RM94.3 bilion) menjadikan beliau orang keenam terkaya di dunia.

Enam ‘bilionair Facebook’ dalam senarai global termasuk pengasasnya Mark Zuckerberg dan Eduardo Saverin, selain bilionair termuda dunia Dustin Moskovitz, yang baru berusia 26 tahun dan usahawan Napster, Sean Parker.

Britain mempunyai tiga lagi bilionair baru berbanding tahun lalu. Senarai 10 teratas UK turut menyenaraikan adik beradik Barclays, David dan Frederick, pemilik Telegraph Media Group, dengan kekayaan AS$3.2 bilion (RM9.7 bilion).

Penulis novel Harry Potter, JK Rowling yang mencatat kekayaan AS$1 bilion (RM3 bilion) turut disenaraikan sejak beberapa tahun lalu.

Bilionair hartanah, David dan Simon Reuben mencatatkan kedudukan kedua dalam senarai orang paling kaya Britain dengan kekayaan mencecah AS$8 bilion (RM24.2 bilion) diikuti Sir Philip Green dengan kekayaan AS$7.2 bilion (RM21.8 bilion).

Reubens berada di tangga ke 114, manakala Green pada tangga ke 132.

Pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson, pemilik tanah Charles Cadogan dan pemilik Formula One Bernie Ecclestone seterusnya dengan kekayaan mencecah AS$4.2 bilion (RM12.7 bilion).

China yang juga negara kedua ekonomi terbesar dunia selepas Amerika mempunyai 115 bilionair sementara Russia mempunyai 101 bilionair. Moscow menjadi kediaman bilionair paling ramai daripada bandar lain di dunia ini dengan 79 orang.

Lelaki Perancis, Bernard Arnault yang juga lelaki terkaya di Eropah dan pemilik kumpulan jenama mewah LVMH (Moet Hennessy Louis Vuitton), berada di tangga keempat dengan kekayaan AS$41 bilion (RM124.5 bilion).

Di Eropah, ada 300 bilionair, 50 orang lebih berbanding tahun lalu dengan 72 orang berjaya dengan usaha sendiri. Pada masa sama, walaupun ramai berjaya meningkatkan kekayaan mereka tahun lalu, ada yang merosot.

Pengasas Ikea, Ingvar Kamprad rugi teruk tahun lalu, turun daripada tangga 151 ke 162 dengan kekayaannya merosot daripada AS$23 bilion (RM69.8) kepada AS$6 bilion (RM18.2 bilion). – Agensi

Farah Buka Pusat Sehenti Bagi Barangan Bayi



MENYUSU badan kini sudah kembali sebagai trend malah, ramai ibu muda pada masa kini tanpa mengeluh tetap akan mencari sudut privasi bagi menyusukan anak walaupun di pusat beli-belah, kedai makan mahupun dalam majlis keramaian.

Jika tidak diberi menyusu terus dari payu dara, lambakan jenama dan jenis pam susu badan manual mahupun elektrik menjadikan wanita yang berkerjaya juga mampu memberikan susu badan secara eksklusif kepada bayi mereka.

Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja tanpa diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun.

Justeru itu, pemilihan pam susu yang bersesuaian perlu dititikberatkan untuk mengelakkan proses mengeluaran susu tidak terganggu akibat kejutan terutama dari segi sedutan.

Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, pemilihan pam yang bergred hospital amat penting kerana ia lebih selesa digunakan, mengikut sedutan seperti mulut bayi selain tidak menyakitkan.

Menceritakan lebih lanjut, wanita yang mesra disapa Farah, 30, mencadangkan supaya ibu-ibu yang bekerja membuat kaji selidik menerusi Internet, rakan-rakan yang berpengalaman ataupun berjumpa dengan pakar laktasi sebelum membeli gajet tersebut.

Katanya, sekiranya tersilap memilih kerana mahu yang murah, mungkin pam tersebut tidak bergred hospital sekali gus membantutkan proses pemerahan susu apabila payu dara ibu berasa sakit dan tidak selesa.

“Pemilihan pam yang betul sangatlah penting kerana ciri-ciri pam yang sepatutnya dipilih adalah sedutan yang menyerupai hisapan mulut bayi,” jelasnya.

Tambahnya, bagi ibu yang bekerja, lebih mudah sekiranya mereka memilih pam berganda (double-pumping) kerana ia amat menjimatkan masa, iaitu mereka boleh memerah susu pada kedua-dua belah payu dara secara serentak untuk tempoh 20 hingga 30 minit.

Kelengkapan pam



Selain pemilihan pam susu, ibu juga sudah boleh mula mencari produk penyusuan susu ibu di pasaran seperti beg penyejuk, gel ais dan beg yang bersesuaian untuk memudahkan ibu semasa hendak mula bekerja nanti.

Kata Farah, susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas) selama tiga bulan, peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan.

Bagi wanita yang bekerja, memang diakui, pada mulanya pasti ramai yang agak malu untuk melakukan proses mengepam di tempat kerja yang sudah tentu menarik mata nakal rakan lelaki yang memandang.

“Sebenarnya mudah sahaja untuk mengepam di pejabat, yang paling penting pemilihan baju serta pakaian dalam yang mudah untuk diselak untuk mencekup corong pam susu dengan mudah.

“Selain itu, pemilihan pam elektrik yang kurang mengeluarkan bunyi, malah boleh juga ditempatkan motor pam itu di dalam beg khas untuk mengurangkan gegaran dan juga bunyi pam,” katanya yang turut mereka pam elektrik jenama sendiri, Modu hasil kerjasama dengan Insan iaitu sebuah syarikat di Korea.

Kelebihan susu badan

Bagi ibu yang meninggalkan anak di rumah pengasuh, oleh kerana kebanyakan pengasuh sudah terbiasa memberikan susu formula kepada bayi di bawah jagaan mereka, ia menyebabkan kemungkinan bekalan susu perahan yang disediakan tidak mencukupi selama di rumah pengasuh.

Ini kerana ramai yang keliru mengenai kuantiti susu diperlukan oleh bayi yang membesar dari bulan ke bulan.

Ia menyebabkan ramai ibu berada dalam dilema sama ada terus memberi anak susu badan apabila si kecil di bawah jagaan pengasuh.

Nasihat Farah, konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak tersalah anggap dengan kebolehan badan menghasilkan susu untuk anak-anak.

“Sebenarnya ramai ibu yang tidak tahu bahawa pengambilan susu perahan oleh bayi dari umur satu bulan hingga 6 bulan adalah sama dan tidak berubah. Ia adalah lebih kurang tiga auns sekali minum dengan empat hingga lima kali dalam tempoh ibu bekerja.

“Diakui pada awalnya, bayi akan merengek dan memberi isyarat seperti mahu menghisap susu lagi, namun ibu boleh melatih pengasuh untuk mendukung, bermain dan memberi lebih perhatian kepada bayi.

“Ini kerana kebiasaannya ramai yang beranggapan susu badan harus ditambah untuk bayi seiring dengan peningkatan usia sehingga 6 bulan.

“Bagaimanapun, pendapat itu mungkin hanya sesuai untuk susu formula sebagaimana yang tercatat pada label pada tin.

“Keunikan susu ibu adalah apabila Allah telah pun menetapkan khasiatnya mengikut keperluan umur,” jelasnya sambil menerangkan bayi sememangnya mempunyai naluri menghisap namun, keadaan ini bukanlah bermakna bayi tidak cukup susu.


SUSU badan yang dipam boleh disimpan di dalam peti sejuk dan boleh bertahan antara tiga hingga enam bulan.

Pengalaman sendiri

Berkongsi pengalaman sebagai wanita yang bergelar ibu, Farah juga menginginkan yang terbaik buat tiga orang buah hatinya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 3, dan Putera Shafik Adrian, 4 bulan.

Isteri kepada seorang jurutera, Saiful Azwan Rasidi itu sedar perkara asas yang terbaik untuk anak-anaknya sejurus selepas dilahirkan adalah dengan memberi susu ibu secara eksklusif.

Lulusan bidang Mikrobiologi dari Universiti Teknologi Mara itu sanggup meninggalkan jawatan sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta selepas dia melahirkan anak sulungnya.

“Saya akui dulu semasa anak sulung, saya kurang pengalaman dan persediaan. Malah, ketika anak saya berumur 8 bulan, saya diberikan rezeki untuk mengandungkan anak kedua pula, ketika itulah saya berhenti memberi susu badan kepada anak sulung kerana mendengar cakap orang yang lebih tua.

“Ada yang kata tidak elok untuk kesihatan bayi yang dikandung kerana bimbang, khasiat makanan ibu yang sepatutnya diambil bayi dalam kandungan, ‘dicuri’ anak yang sedang menyusu,” katanya yang berjaya melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor laktasi dari Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM).

Enggan mengulangi kesilapan pertama, Farah memilih menyusu secara eksklusif bagi anak kedua dan ketiganya.

“Ia adalah nikmat tak ternilai bagi seorang ibu, malah sokongan daripada orang tersayang iaitu suami amat saya hargai,” katanya yang ternyata puas kerana dapat menyusukan anak-anaknya tanpa susu formula.

Dengan kesedaran yang ada, Farah bertekad menubuhkan sebuah pusat sehenti bagi barangan bayi dan gajet lengkap untuk penyusuan susu ibu yang diberi nama Sarakids.

Sarakids kini mempunyai lima cawangan utama seluruh negara dan turut melebarkan sayapnya ke Brunei, Singapura dan Korea.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids, boleh ke laman web www.sarakids.com atau ke kedai di alamat 42-1, First Floor, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Mizi Tambah 15 Cawangan Lagi, Mizi Sports Centre


MOHD. AZMI (kanan) menerangkan sesuatu kepada Roshidi pada majlis pembukaan cawangan terbaru Mizi Sports Centre di Ipoh baru-baru ini.

Sumber : Kosmo online 10/3/11

KUALA LUMPUR - Mizi Sports Centre, kedai peralatan sukan milik syarikat bumiputera, telah berjaya membuka lima cawangan terbarunya di seluruh negara dalam tempoh enam bulan sahaja.

Pengarah Urusannya, Mohd. Azmi Mat Nayan berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, syarikat kini bercadang untuk membuka 15 cawangan baru dalam usaha untuk memenuhi permintaan pengguna terhadap produk sukan berjenama.

Cawangan terbarunya ialah di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di Ipoh, Perak. sebelum ini cawangan sedia adanya di Selayang dan Gombak di Selangor; Nilai dan Senawang di Negeri Sembilan.

"Kesemua 15 cawangan terbaru itu akan dibuka secara berperingkat-peringkat pada tahun depan dan kami telah mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi untuk projek pengembangan tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena pembukaan cawangan terbaru Mizi Sports di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Usahawan Kopi Janda

Sumber : Metro online 10/3/11

SYARIKAT yang memperkenalkan produk Kopi Janda, Janda Produk Marketing Sdn Bhd (JPMSB) terus mengukuhkan sayap pemasarannya di seluruh negara apabila membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan untuk menjadi ejen jualan dikenali Skuad Cakna Kopi Janda.

Ketua Eksekutifnya, Md Zulaimi Kazin berkata, sekarang syarikatnya memiliki 27 ejen di seluruh Semenanjung dan menyasarkan meningkatkannya kepada 45 skuad menjelang akhir tahun ini. Katanya, syarikat menggunakan strategi penembusan pasaran menerusi Skuad Cakna Kopi Janda supaya pihaknya boleh berurusan terus dengan pembeli yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan, minuman dan runcit.

“Kami percaya menerusi ejen jualan seperti ini akan memberi jalinan dan hubungan lebih baik antara syarikat dengan pengusaha kedai, selain boleh memahami kehendak pelanggan dengan lebih jelas.

“Lebih istimewa mereka yang terpilih menjadi skuad akan diberi elaun makanan, petrol, komisen jualan dan juga Perodua ViVa bagi menjalankan pemasaran di lokasi ditetapkan syarikat,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, menerusi skuad itu juga, pihaknya akan mendidik ejen jualan yang berminat dalam bidang perniagaan untuk menjadi usahawan.

Md Zulaimi berkata, bagi memantau perjalanan Skuad Cakna, syarikat melantik pengurus kawasan yang dikenali sebagai khalifah yang mengawal tiga hingga lapan ejen jualan dalam kawasan yang ditetapkan. “Untuk membentuk bakal usahawan berdedikasi, syarikat juga memperuntukkan RM150,000 bagi melaksanakan latihan keusahawanan kepada ejen jualan dan khalifah yang terpilih.

“Menerusi 45 Skuad Cakna yang disasarkan tahun ini juga, kami menyasarkan jualan 90,000 papan Kopi Janda tahun ini dengan anggaran jualan RM1.6 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengeluarkan minuman Kopi Janda dalam tin yang dijangka dilaksanakan tahun depan dengan sasaran jualan RM500,000 pada tahun pertama. Sementara itu, syarikat terbabit turut merancang membina Kompleks Pengilangan Bersepadu di kawasan seluas dua hektar di Pulai Chondong, Kelantan yang akan dimulakan pembinaannya akhir tahun ini. “Pembinaan kompleks ini dianggarkan bernilai RM2 juta yang mempunyai kapasiti lebih besar bagi menyimpan stok bahan mentah dan produk siap. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh menghubungi 03-41474771/41475771,” katanya.

Butik Aishah Alya Untuk Muslimah


Nor Azlina Che Husin (kanan) bersama adiknya Nor Azlindawanis.


PERKEMBANGAN fesyen busana Muslimah semakin ketara pada masa kini, sama ada pakaian untuk bersantai atau untuk ke majlis formal.

Melihatkan permintaan yang sentiasa meningkat dan keterujaan wanita untuk memilih pakaian Muslimah, maka terdetik di hati Nor Azlina Che Husin untuk menceburi dalam bidang penjualan busana Muslimah.

Bermula dengan menjual baju kemeja T Muslimah di pasar pagi di Shah Alam dan pejabat-pejabat kerajaan, Nor Azlina kemudiannya mengorak langkah membuka butik sendiri.

Menggunakan gabungan nama kedua puterinya maka lahirlah Butik Aishah Alya yang terletak di Taman TTDI, Shah Alam.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam perniagaan namun wanita kelahiran Che Siti Wan Kembang itu sanggup bermula dari bawah.

"Pada awalnya, saya hanya menjual kecil-kecilan sebelum melangkah lebih jauh," ujarnya menceritakan pengalaman selama lima tahun menjaja di sekitar Kuala Lumpur.

Malah akuinya, dia sendiri sanggup turun padang mencari barangan untuk dijual bagi memastikan kualitinya terjamin.

"Ketika itu, setiap minggu saya berulang-alik antara Kuala Lumpur ke Jakarta dan juga Vietnam. Setiap kali pulang ke rumah, anak-anak sudah tidur.

"Namun pada ketika itu, saya tekadkan dalam hati bahawa setiap usaha yang dilakukan akan digantikan dengan kejayaan," kata Nor Azlina yang turut dibantu oleh adiknya, Nor Azlindawanis, 27.

Jikalau dulu, terangnya, busana Muslimah tidak banyak pilihan, kini keadaan semakin jauh berubah.

Ini termasuk dari segi rekaan, kemasan jahitan yang lebih banyak menyuntik elemen-elemen kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri kesopanan.

"Saya rasa kehadiran koleksi busana Muslimah Aishah Alya bagaikan tepat pada waktunya untuk memberi inspirasi tersendiri kepada wanita yang suka bergaya, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri Muslimah anggun dan bersopan," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat koleksi Aishah Alya, anda boleh berkunjung ke No16, Jalan OperaB U2/B, Taman TTDI Shah Alam atau hubungi terus di talian 019-2739717.

Capal Eksklusif Kulit Kambing


BERBEZA daripada capal PVC, capal kulit kambing dan kulit lembu lebih selesa dan lembut ketika disarungkan.


BILA tibanya musim cuti persekolahan, seperti biasa kad undangan pertunangan dan perkahwinan pasti akan bertebaran, lantaran ia tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis mengumpulkan sanak-saudara dan tetamu.

Bulan Mac ini juga menyaksikan ramai pasangan kekasih mengambil peluang menempuh gerbang bahagia sempena cuti persekolahan. Yang pasti, dalam persiapan itu pasti ada yang masih tercari-cari kelengkapan terbaik untuk menjadi raja sehari di singgahsana atau juga sebagai hantaran.

Jika anda mencari capal, songkok, samping atau telekung eksklusif dan berkualiti, DM Qiosk Enterprise di Dataran Glomac, Kelana Jaya, Selangor boleh menjadi destinasi pilihan anda.

Ditubuhkan oleh Datuk Mardina Alwi, sejak tiga bulan lalu, pesara kerajaan itu memberitahu butik tersebut diwujudkan sebagai kenangan atau inspirasi daripada ayahnya yang merupakan seorang pembuat songkok.

"Kecil-kecil dahulu selalu tolong ayah membuat songkok. Kerana itu dengan sedikit ilmu selain niat sebagai ibadah, saya membuka kedai ini sejak hujung tahun lalu," katanya.

Ujar Mardina berbeza dengan songkok yang menggunakan fabrik biasa, songkok di DM Qiosk dihasilkan menggunakan fabrik baldu iaitu super satin royal. Fabrik tersebut menawarkan fabrik baldu yang berkualiti dan lebih lembut.

Harga untuk songkok tersebut adalah mengikut saiz ketinggian iaitu bermula dari RM98 hingga RM138. Selain songkok jenis itu, DM Qiosk tidak ketinggalan menawarkan songkok daripada baldu Kabul yang lebih murah pada harga dari RM25 hingga RM45.

Selain songkok, satu lagi produk eksklusif di DM Qiosk ialah capal. Dengan lambakan capal polivinil klorida (PVC), Mardina memilih capal yang dihasilkan daripada kulit lembu dan kulit kambing untuk memenuhi rak butiknya.

Jelas beliau, capal kulit lembu dan kulit kambing memang mendapat sambutan di DM Qiosk terutama untuk majlis pertunangan atau perkahwinan.

Berbeza daripada capal PVC yang keras, capal kulit lembu dan kulit kambing lebih lembut dan selesa sewaktu disarungkan. Tambahnya, capal kulit kambing lebih mahal kerana kualiti bahannya yang lebih lembut.

Kecintaan Mariyah Pada Seni Ukir Kayu


Pelbagai reka bentuk ukiran pintu kayu yang ditawarkan oleh Khazanah Masa Sdn. Bhd.


PILIHAN perniagaanya mungkin agak di luar kebiasaan. Malah jarang sekali kita tahu tentang wanita yang berniaga pintu rumah kerana mendengarnya saja sudah agak kurang glamor berbanding jika membuka spa atau butik.

Sebab tidak ramailah yang mendorong Mariyah Pit, 54, menongkah arus membuka perniagaan menjual pintu melalui syarikatnya Khazanah Masa Sdn. Bhd.

Idea perniagaan tersebut timbul hasil pengalamannya menghadapi kesukaran untuk mencari reka bentuk pintu rumah yang menarik dan unik bagi kediamannya.

''Kebetulan pada ketika itu saya sedang mencari-cari pintu rumah yang bercirikan ukiran tradisional untuk kediaman sendiri,'' kata bekas arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.

Beliau akui kerana meminati ukiran tradisional, maka salah satu usahanya ialah mengabadikan ia pada pintu rumah.

''Sekurang-kurangnya ada juga identiti tradisional Melayu dalam rumah untuk diingati oleh anak-anak supaya ia tidak terus pupus dek zaman,'' katanya.

Sebagai arkitek, Mariyah juga menggunakan peluang itu untuk mempromosi pelbagai reka bentuk pintu keluaran syarikatnya kepada pelanggan.

Kebanyakan pintu menggunakan kayu jenis nyatoh dan mahagony yang biasanya dihasilkan dalam saiz standard iaitu tinggi 2,050 milimeter (mm) dan lebar pula 860 mm.

Biasanya ia akan dijual pada harga serendah RM1,200 untuk ukiran pada sebelah pintu.

Ketika ditanya adakah perniagaan tersebut mampu bertahan, kata ibu beranak empat itu, permintaan untuk pintu memang sentiasa ada.

''Saya beri peluang kepada pelanggan untuk memilih rekaan yang digemari. Kalau yang orang lama biasanya memilih corak awan larat manakala yang muda lebih kontemporari,'' katanya ketika ditemui di kedainya di No. 12, Jalan Wangsa Setia 4, Wangsa Melawati, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Katanya, walaupun harga yang ditawarkan untuk pintu berukiran lebih mahal daripada biasa, tetapi itu tidak menjadi persoalan kepada yang menghargai seni.

Selain itu, kata Mariyah, syarikatnya juga menjual kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran yang dihasilkan dari kayu.

''Kita juga menerima tempahan ukiran untuk hiasan dinding dan penghadang dinding,'' katanya.

Jelas Mariyah, kebanyakan pelanggan mendapat tahu mengenai perniagaan pintunya itu menerusi Internet dengan melayari laman web www.khazanahmasa.com.my

Sebelum memulakan perniagaan, Mariyah memberitahu, pembabitan awalnya dalam bermula dengan membuka firma arkitek.

''Selepas berhenti kerja, saya bercadang untuk meneruskan bidang ini di rumah sahaja kerana tidak sanggup lagi meninggalkan anak bongsu yang berusia dua tahun pada ketika itu,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan bidang arkitek memerlukan dia menghadiri mesyuarat maka lapan bulan selepas itu beliau mengambil keputusan membuka firma sendiri.

Katanya, berbekalkan modal RM5,000, Mariyah membuka firma sendiri di Jalan Tun Razak pada tahun 1994 dengan berkongsi pejabat dengan seorang rakannya.

Lama kelamaan dengan perniagaannya yang semakin berkembang, Mariyah mengambil keputusan membuka pejabat sendiri di tempat sekarang.

Peluang yang diberikan kepadanya untuk mereka bangunan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya telah mencetuskan rasa cintanya terhadap seni ukiran Melayu.

''Semenjak itu saya begitu lantang memperjuangkan ukiran seni Melayu ini,'' katanya.

Kata Mariyah, sepatutnya seni ukiran Melayu dijadikan sebagai perhiasan di mana-mana bahagian dalaman pada setiap bangunan negara ini.

''Sayangnya seni ukiran Melayu sudah tidak dihargai seperti mana pembinaan rumah kayu orang Melayu yang kini telah digantikan dengan rumah batu-bata.

''Tidak kisah sama ada ia diletakkan pada pintu dan sebagainya lagi tetapi sekurang-kurangnya identiti orang Melayu ini masih boleh disaksikan oleh generasi muda,'' katanya.

Mariyah berharap dengan usahanya menjalankan perniagaan pintu berukiran tradisional ini termasuk bahan-bahan ukiran lain akan dapat diketengahkan ketika orang lain sudah makin lupa terhadap warisan ini.

'Baulu Kemboja' Bawa Sinar Hidup Ruzita


RUZITA Ismail dan Azman Ali tekad memasarkan kuih baulu Kemboja mereka ke luar daerah Sabak Bernam.


APAKAH yang perlu dilakukan oleh seorang isteri kala suaminya menderita kesakitan? Pihak hospital mengesahkan usus besar suami harus dipotong. Pada masa yang sama, perbelanjaan keluarga, rumah sewa, yuran sekolah dan segala keperluan lain terus mendesak.

Itulah secebis kisah kesempitan hidup Ruzita Ismail, 32, dan suaminya, Azman Ali, 40, yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf kali ini.

Kata Ruzita, peristiwa itu berlaku pada tahun 2006. Suaminya disahkan mengidap ketumbuhan di usus besar dan doktor meminta bahagian yang dijangkiti itu dipotong.

"Sebelum itu, suami saya adalah pemandu bas kontrak dengan gaji kira-kira RM1,500 sebulan. Ditambah pelbagai masalah lain, beliau terpaksa berhenti kerja.

"Bayangkanlah, sebagai suri rumah sepenuh masa kami tidak mempunyai pendapatan lain bagi menyara keluarga. Mujurlah keluarga suami ada juga sedikit-sebanyak membantu. Namun, kehidupan amat rumit. Sukar rasanya mengenangkan saat itu," katanya.

Ibu muda itu terdiam seketika. Rona wajahnya kembali mengenang kisah silam saat hidup mereka sekeluarga dirundung kelam.

"Bayangkan, sewa rumah sudah tertunggak hampir setahun lamanya. Yuran tadika anak pun saya tidak mampu jelaskan. Kami terpaksa meminjam daripada kawan-kawan bagi membayar bil elektrik dan air, jika tidak semuanya akan dipotong.

"Saat itu, saya selalu menangis mengenang kesusahan diri dan keluarga. Tidak pernah saya bayangkan, kami akan melalui kegetiran sehebat itu," katanya sayu.

Azman yang berada di sisi kala wawancara hanya mendengar isterinya berkisah tentang kenangan itu. Setelah menjalani pembedahan, Azman tidak mampu melakukan kerja-kerja berat, kerana bimbang boleh menjejaskan kesan luka di ususnya. Semuanya menambah parah, kerana beliau adalah nadi kepada keluarganya.

Menurut Ruzita, mujurlah pada tahun 2006 itu juga, mereka didatangi pihak jawatankuasa masjid berdekatan yang dapat menghidu kesusahan lantas membuat bancian dan siasatan.

"Akhirnya, kami didaftarkan sebagai asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Bermula dari saat itulah, sinar kebahagiaan mulai memancar kembali dalam hidup kami sekeluarga.

"LZS banyak memberikan bantuan yang tidak kami jangkakan. Misalnya, rumah kami sekarang ini adalah hasil bantuan LZS. Cukup memuaskan, dengan tiga bilik dan siap dengan kemudahan elektrik dan air. Dapatlah kami enam beranak tidur dengan selesa tanpa memikirkan sewa lagi," jelasnya.

Penulis terpandangkan kelengkapan membuat kuih baulu Kemboja yang tersedia di sudut rumahnya. Ada dua mesin pengadun dan sebuah ketuhar pembakar yang agak besar.

"Ketuhar dan mesin ini pun saya dapat daripada pihak LZS di bawah Skim Bantuan Modal. Saya memang berhasrat menjalankan perniagaan.

"Alhamdulillah, pihak LZS telah membantu saya memenuhi impian itu. Di samping LZS, pihak kerajaan juga ada memberikan bantuan tambahan," katanya penuh semangat.

Sebuah lagi mesin pengadun dan sebuah ketuhar yang lebih besar sudah pun disumbangkan oleh pihak kerajaan.

Kini, pasangan itu bercadang menambah sedikit lagi binaan di tepi rumah untuk menempatkan segala kelengkapan membuat kuih.

"Lagipun, tidak selesa rasanya berkongsi ruangan dengan mesin. Nanti jika sudah ada bengkel, mudahlah jika LZS nak membawa orang datang melawat," tambah Ruzita.

Kini kehidupan Ruzita dan suaminya Azman, bersama empat orang anak mereka, Adzwin, 11; Fauzan, 9; Fauzul, 7 dan Faizul, 5, kian teratur.

Ada senyuman yang menghiasi wajah mereka. Senyuman itu pastinya terbit daripada sebuah kegembiraan yang bukan rekaan.

Kini, keluarga itu disantuni dengan wang zakat dalam pelbagai bentuk. Mereka diberi bantuan hari raya, bantuan bulanan dan anak-anak mereka diberi bantuan persekolahan setiap tahun. Rumah mereka pula dibina pada tahun 2009 dengan kos RM38,000 oleh LZS. Modal bagi memulakan perniagaan pula berjumlah RM5,000.

"Kini, kuih baulu kami sudah menembusi pasaran di merata tempat. Bagi daerah Sungai Besar ini sahaja, ada 44 kedai yang menjadi pelanggan tetap kami.

"Hitung panjang, setiap bulan kami mengeluarkan sejumlah 2,400 keping baulu Kemboja dengan harga pasaran RM3 setiap satu. Tetapi bagi pengedar, adalah keistimewaannya.

"Insya-Allah, kami dalam proses menambahkan lagi rangkaian pengedar. Sambutan memang positif. Tak menang tangan kami berdua," katanya.

Menjelang hari raya, kata Ruzita, tempahan akan meningkat sekali ganda. Bahkan ada orang menjadikan produk mereka sebagai oleh-oleh kenduri kahwin.

"Mereka kata, produk kami berbeza. Mungkin kerana resipi saya memang istimewa berbanding baulu Kemboja yang lain," tambahnya.

Hari ini, Ruzita dan Azman boleh tersenyum bangga dengan titik peluh mereka. Pendapatan mereka juga kian meningkat. Tidak mustahil dalam tahun ini, mereka sudah terkeluar daripada senarai asnaf di LZS.

"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembayar zakat. Teruskanlah membayar zakat kerana terbukti sudah, LZS benar-benar mengotakan amanahnya membela ummah," kata Ruzita.

Jika ada pembaca yang menempah atau menjadi pengedar kuih Baulu Kemboja keluaran Ruzita Ismail, sila hubungi beliau di talian 013-3109337.

Sabtu, 5 Mac 2011

Peneraju Perdagangan Dalam Talian - Mudah.my

Sumber : Kosmo online 22/2/11



PENDEKATAN mudah.my (Mudah) sememangnya seiring dengan nama laman web itu sendiri. Justeru, apabila melayari laman web berkenaan, tidak timbul masalah reka bentuk laman atau grafik yang mengelirukan pengguna sehingga menjejaskan misi perdagangan yang ingin dijalankan.

Mudah memberi peluang kepada semua orang membeli dan menjual produk mereka dengan kaedah yang paling mudah dan yang lebih penting secara percuma.

Ia menghubungkan pembeli dan penjual di Malaysia sekali gus memberikan pengalaman perdagangan yang efisien.

Pengurus Besar Mudah, Shylendra Nathan memberitahu, prinsip berkenaan membuatkan pembeli dan penjual mencapai hasrat mereka dengan pantas, sekali gus memberi kejayaan kepada Mudah untuk menjengah pasaran dengan pantas.

“Dengan menggunakan prinsip ini, Mudah dengan cepat memintas laman-laman web serupa di pasaran dalam talian sehingga mencapai kedudukan ketiga dalam negara selepas Facebook dan Google.

“Duduk di tempat pertama bagi kategori laman web perdagangan bermakna Mudah telah jauh meninggalkan para pesaingnya dan telah berada pada satu tahap yang kukuh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum Mudah dilancarkan katanya, pemilihan nama Mudah.my adalah bagi menepati pasaran tempatan dengan memilih nama yang dekat dengan pengguna Malaysia. Selain itu, aspek yang diberi perhatian adalah sama ada ia mencipta peluang perniagaan yang efektif.

Empat juta pengunjung sebulan


SHYLENDRA berbangga mudah.my yang asalnya beroperasi sebagai sebuah laman web kecil kini menjadi laman web ketiga paling ramai dikunjungi pelayar Internet di Malaysia.


“Nama Mudah pendek dan mudah diingati. Ia juga secara tidak langsung menyampaikan filosofi syarikat ini yang ingin menjalankan perdagangan dan menghubungkan pengguna Malaysia dengan cara yang paling mudah.

“Dengan jumlah pengunjung laman web yang kecil pada mulanya, kini Mudah mempunyai kira-kira empat setengah juta pengunjung unik setiap bulan dan menghubungkan kira-kira sejuta penjual yang terdiri daripada peniaga individu dan perniagaan kecil dan sederhana (SME),” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa, trend perdagangan dalam talian yang berkembang sejak beberapa tahun ini menyumbang kepada kepesatan Mudah sebagai peneraju perdagangan dalam talian.

“Walaupun perdagangan turut dijalankan di Facebook dan blog, peniaga dalam talian kini dilihat menggunakan semua medium yang ada untuk memajukan perniagaan mereka, termasuk melalui Mudah.

“Mudah lebih efektif kerana ia menumpukan sepenuhnya kepada tujuan perdagangan dan pengiklanan melalui kategori-kategori yang disusun bagi memudahkan pencarian pelanggan berpotensi,” katanya.

Nathan memberitahu, Mudah ialah anak syarikat Mudah.my Sdn. Bhd. yang menjalin usaha sama dengan Singapore Press Holdings Limited (SPH) dan Schibsted ASA.

“SPH yang terletak di Singapura merupakan organisasi media peneraju yang mengeluarkan sebanyak 17 jenis akhbar dalam empat bahasa, lebih 100 tajuk majalah dan sejumlah laman web.

“Schibsted ASA pula merupakan syarikat pengiklanan terbesar di Eropah yang mempunyai pasaran di Belgium, Perancis, Sepanyol, Sweden, Asia dan Amerika Latin,” katanya.


KELUARGA besar mudah.my yang menjadi tulang belakang dalam memastikan laman web itu dapat beroperasi dengan lancar sebagai pangkalan perdagangan dalam talian.


Tambah beliau, operasi di Malaysia dikawal oleh 701Search Pte. Ltd. (701Search), syarikat berpangkalan di Singapura yang turut menjalin usaha sama dengan SPH and Schibsted. Selain Mudah, laman web Asia termasuk Berniaga.com di Indonesia, AyosDito.ph (Filipina) dan Dinkos.com.au (Australia).

Kepelbagaian produk

Dimulakan tanpa meletakkan kategori khusus, kini pelanggan boleh memilih kategori antaranya elektronik, hartanah, pekerjaan, barangan peribadi, kenderaan, hobi, sukan dan perkhidmatan yang turut dikecilkan mengikut kategori negeri-negeri.

“Bagi setiap kategori itu sendiri, pelanggan yang ingin mendapatkan barangan sama ada barangan baru atau terpakai dapat membuat pilihan mengikut bajet mereka dan dapat berurusan terus dengan penjual tanpa campur tangan pihak Mudah.

“Kami hanya menyediakan medium dan tidak terbabit dengan sebarang proses transaksi. Justeru, proses perdagangan menjadi lebih mudah,” katanya.

Selain itu jelasnya, kategori pekerjaan yang merupakan antara kategori yang baru merangkumi aspek yang lebih luas. Ia tidak menumpu kepada pekerjaan kolar putih semata-mata.

“Di Mudah, pekerjaan kategori kolar biru seperti guru tuisyen, tutor dan pekerja am juga boleh didapati. Ia merangkumi aspek yang lebih luas,” katanya.

Menurut Shylendra lagi, pengguna Malaysia kini tidak perlu membuang barangan lama mereka kerana ada pelanggan yang mahukannya pada harga yang berpatutan.

“Jika dahulu barangan lama terus dibuang atau disimpan di dalam stor, kini ia boleh dijual di Mudah pada harga yang lebih murah. Pasti ada pengguna yang mahukannya terutama mereka yang tidak mampu membeli barangan baru yang mahal.


ITEM elektronik seperti kamera, laptop dan telefon bimbit antara yang paling ramai pengunjung.


“Barangan terpakai yang paling mendapat sambutan antaranya ialah kenderaan dan barangan elektronik. Kedua-dua item ini mengumpul jumlah pelawat unik masing-masing sebanyak kira-kira dua juta dan sejuta orang Januari lalu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setiap proses jualan dipantau oleh Mudah bagi mengelakkan aktiviti yang tidak dibenarkan. Setiap pengiklanan yang dijalankan turut melalui proses sama.

“Kami mahu mendidik pengguna Mudah supaya menjalankan pengiklanan yang efektif serta dapat mencapai sasarannya. Sebagai contoh, pengiklanan hartanah yang tidak mempunyai gambar, tiada alamat dan maklumat lengkap tidak akan diluluskan.

“Secara tidak langsung, pengguna akan dapat mempelajari kaedah pengiklanan yang berkesan yang dapat menyumbang kepada proses perdagangan yang efisien,” katanya.

Sementara itu, mengulas perancangan masa hadapan, Nathan memberitahu Mudah bakal memperkembangkan kategori item yang membabitkan pelancongan yang kini mendapat sambutan tinggi bagi pasaran pelancongan negara.

Pendapatan Tukang Kasut Cecah RM5,000 Sebulan

Sumber : Utusan online 18/02/2011 4:01pm

ALOR SETAR 18 Feb. - Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.

Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.

Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata, dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Dia berkata, tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalah umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.

"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia berkata, semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. - Bernama

Bergolok Bergadai Kerana Commects

Sumber : Utusan online 14/2/11


Zaharudin Mohamad Tahir di hadapan bengkelnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Feb. - Syarikat pengendali bengkel kenderaan milik bumiputera yang beroperasi lebih 25 tahun, Commects (M) Sdn. Bhd. (Commects) menyasarkan meluaskan rangkaian perusahaannya ke seluruh negara sebelum 2015.

Sehingga kini, Commects mempunyai enam cawangan, di Bandar Baru Bangi, Selangor , Muar di Johor, Sungai Udang dan Malim Jaya kedua-duanya di Melaka, Taman Lembah Keramat dan Pinggiran Ukay di Selangor.

Pengarah Urusannya, Zaharudin Mohamad Tahir yakin mampu mencapai sasaran tersebut berikutan potensi pertumbuhan perusahaan yang memberangsangkan pada waktu ini.

Katanya, kos pembukaan operasi sebuah bengkel adalah kira-kira RM200,000 dengan saiz keluasan dari 3.62 meter persegi X 7.43 meter persegi sehingga 1,393.5 meter persegi yang boleh memuatkan kira-kira 30 buah kereta pada satu-satu masa.

''Seboleh-bolehnya saya mahu mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dengan segera dan mencapai prestasi yang positif,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Commects ditubuhkan pada 1986 dengan bermodalkan sebanyak RM150,000 dan mempunyai 50 kakitangan.

Commects merupakan singkatan akronim bahasa Inggeris daripada Commercial Mechanical and Technical Supply.

Setakat ini, Commects mencatat perolehan sebanyak RM9 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 dan menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan itu pada tahun kewangan terkini.

Dalam tempoh terdekat, Zaharudin, merancang membuka dua buah bengkel kenderaan lagi iaitu di Gombak dan sebuah lagi di Bangi, Selangor.

Katanya, Commects mahu mengukuhkan kedudukan di Lembah Kelang sebelum meluaskan operasi ke negeri-negeri lain.

Ketika ditanya profil pelanggan-pelanggannya setakat ini, beliau berkata, 60 peratus pelanggannya merupakan jabatan kerajaan manakala 40 peratus lagi merupakan individu.

''Kami mempunyai 100 peratus mekanik terlatih dan menjalankan aktiviti perniagaan bengkel kenderaan yang menyeluruh termasuk penyelenggaraan, mengetuk cat, penghawa dingin, tayar dan lain-lain lagi,'' ujarnya.

Ditanya tentang pengalaman paling pahit mengendalikan bengkel kenderaan, beliau yang merupakan bekas anggota polis berkata, kegagalan membayar ansuran bulanan bangunan bengkel di Taman Lembah Keramat, di sini bernilai RM600,000 sukar untuk dilupakan.

Katanya, bengkel kenderaannya itu hampir disita dan beliau dibawa kemuka pengadilan, tetapi semakan semula terhadap kontrak jual beli telah menyelamatkan keadaan pada waktu itu.

''Saya merayu kepada pemilik bangunan supaya menyemak semula kontrak, ternyata kami ada membuat bayaran ansuran deposit tiga campur satu yang menyelamatkan keadaan pada waktu itu,'' ujarnya.

Selain itu, bengkel kenderaan Commects di Melaka pernah terbakar mengakibatkan kerugian RM350,000 tanpa perlindungan insurans.

''Namun dengan segala wang saku yang ada, saya bergolok gadai mendapatkan semula tapak bangunan yang sama untuk disewa dan dijadikan bengkel kenderaan,'' tambah Zaharudin.

Samuri Cari Pelabur Sate

Sumber : utusan online 14/2/11
oleh AHMAD FADZIL ZAINOL ARIFFIN
bisnes.utusan@gmail.com

Samuri Juraimi



KAJANG 13 Feb. - Sate Kajang Haji Samuri, pemilik empayar perniagaan sate yang terkenal, kini mencari pelabur yang benar-benar berminat untuk membantu mengembangkan operasi syarikat berkenaan.

Menurut Pengasas atau Pengarah Urusannya, Datuk Samuri Juraimi, pihaknya mahu mendapatkan pelabur bersama di dalam perniagaan itu tetapi penyertaan itu hendaklah tidak mengugat kepentingannya.

''Kerjasama yang bakal terjalin itu biarlah adil dan menyediakan situasi menang-menang terutama bagi menghormati pihaknya yang memerah keringat membangunkan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah beliau masih mempunyai kuasa terhadap perjalanan syarikat manakala pelabur itu mampu meluaskan lagi pasaran Sate Kajang Haji Samuri.

Samuri berkata, beliau pernah menerima tawaran daripada beberapa syarikat sebelum ini tetapi menolaknya kerana syarat yang diberikan mampu menyaksikan beliau kehilangan perniagaannya.

"Saya tidak mahu Sate Kajang Haji Samuri mudah diambil alih mana-mana pihak dan akhirnya jatuh kepada orang asing," kata beliau.

Samuri memulakan perniagaan sate selepas mempelajarinya daripada pelopor sate terkenal di Kajang, Tasmin Sakiban ketika berusia 14 tahun.

Beliau, kemudiannya membuka gerai pertamanya di sebelah Stadium Kajang bersama enam orang pekerja dan kini berkembang sehingga mempunyai 22 cawangan seluruh Malaysia dengan 600 pekerja.

Menurut Samuri, beberapa syarikat yang pernah menyatakan minat untuk bekerjasama tetapi apa yang ditawarkan dilihat seolah-olah cubaan untuk 'membunuh' perniagaannya.

Pada masa yang sama, Samuri berkata, beliau akan terus mengembangkan sendiri perniagaan itu dan memperkenalkan jenama Sate Kajang Haji Samuri.

"Kami bercadang meluaskan perniagaan ini secara francais dan ia mampu dicapai sekiranya kami berjaya mendapatkan lesen Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) pada tahun ini,'' kata beliau.

Dengan lesen GMP itu, Samuri berkata, pihak beliau turut bercadang mengeluarkan produk sate sejuk beku yang bakal dipasarkan ke luar negara.

"Dengan menekankan kepada aspek pengkomersialan, saya yakin perniagaan kami dapat diperbesarkan lagi seperti mana francais ternama yang wujud di negara ini," kata beliau.

Samuri berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri seluruh negara.

"Melalui pembukaan cawangan baru dan adanya lesen GMP, ia bakal menjanjikan anjakan baru kepada perniagaan ini," kata beliau sambil menambah sejumlah 70 peratus pelanggan adalah orang Melayu berbanding 30 peratus pada awal penubuhannya.

Ditanya mengenai kedudukan kewangan syarikat, Samuri berkata, kedudukannya adalah stabil meskipun mengakui pengenaan levi pekerja melibatkan jutaan ringgit menjejaskan perancangan perniagaannya.

"Kami terpaksa mengambil pekerja asing kerana sekarang sukar mendapatkan tenaga kerja tempatan yang tidak gemar bekerja di gerai sate," katanya.

Samuri berkata, perniagaannya kini dikendalikan oleh 'generasi kedua' yang terdiri daripada anak-anak serta menantunya.

"Saya harap mereka membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan merealisasikan apa yang saya harapkan (berkembang setanding dengan nama besar lain)," kata beliau yang masih mengawasi perjalanan syarikat dan memberikan nasihat tentang perniagaan berkenaan.

Modal Niaga RM10 - Bisnes Biskut


Norli berbangga dengan produk yang dikeluarkan.


USAHA tanpa mengenal jemu dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa Norli Ahmad, 43 menjadi usahawan seperti sekarang.

Biarpun hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun, perkataan putus asa dan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Bermula dengan kehidupan sebagai suri rumah tanpa pendapatan, Norli mencari pelbagai pekerjaan bagi menjana pendapatan di rumah dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah pengalaman berniaga membantu keluarganya semasa usia remaja banyak membantu Norli dalam usaha membina empayar perniagaannya.

Tidak pernah mengenal erti perkataan putus asa, dia memulakan perniagaan menjual roti canai segera dengan modal sekecil RM10.

Roti canai yang dihasilkan dijual di sekitar kampung menggunakan motosikal sambil menggendong anak dianggap sebagai cabaran bagi mendaki tangga kejayaan.

Selepas bersusah-payah selama lebih tiga bulan dengan mengubah resipi beberapa kali barulah Norli mendapat menambat hati para pelanggan.

Malah sejak itu, dia telah mula mendapatkan bukan saja pelanggan tetap tetapi juga pasaran yang lebih besar.

Menjelang musim perayaan, Norli memang tidak menang tangan menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut yang hanya dipelajari daripada majalah dan buku masakan yang ada di pasaran.

Ketika itu pada tahun 1990, Norli amat bersyukur apabila mendapat hasil pendapatan pertama hasil jualan biskut lebih RM100.

“Ketika itu saya merasa amat gembira dengan pendapatan pertama dan pada masa itu saya rasakan ini merupakan permulaan bagi membuka jalan bagi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kampung Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Sebagai seorang usahawan yang baru, beliau sentiasa ingin mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan berhenti sehingga mendapat apa yang dihajati walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Selepas berjaya dengan jualan roti canai yang mendapat pasaran yang menggalakkan, Norli mula terfikir untuk membuat piza bagi memberi peluang bagi masyarakat di Batu Pahat merasai kelazatan dan perbezaan berbanding dengan makanan tradisional.

Mencari resipi dan cuba menghasilkan yang terbaik, akhirnya Norli berjaya membuat piza yang diterima pelanggan.

Malahan Norli berjaya menjual piza buatannya bukan saja di pasar-pasar malam sekitar Batu Pahat tetapi juga di sekolah-sekolah dengan harga yang amat berpatutan dan boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat.

“Sebenarnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus masakan yang banyak dianjurkan seperti sekarang.

“Saya lakukan semuanya sendiri dengan mencuba pelbagai resipi sehingga mendapat apa yang dihajati,” ujarnya.

Malah beliau pernah membuang beberapa kilogram tepung dan adunan kerana kuih dan kek yang dibuat tidak seperti yang diingini.

“Saya akan mencuba sehingga berjaya. Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah menganggap adunan yang dibuang hanya membazir.

“Sebaliknya adunan berkenaan boleh dikatakan seperti percubaan saya sebelum mendapat yang terbaik,” jelas beliau.

Bersama-sama dengan suami, Afandi Anim, 45 yang banyak memberikan sokongan dan galakan, Norli berjaya menghasilkan produk dengan jenama Nourlie.

Berbekal dengan galakan serta sokongan keluarga walaupun ketika itu tiada skim bantuan kerajaan, perniagaan biskut Norli terus berkembang sehinggalah Jabatan Pertanian menghulurkan bantuan semasa beliau menyewa bangunan pekan Batu Pahat.

Bermula di sana, Norli mula membuat pelbagai jenis biskut termasuk 12 jenis makanan sejuk beku seperti roti canai mampan, donat, karipap, cucur badak, kasturi, popia dan murtabak daging, kek dan roti seperti kek muffin dan coklat moist.

Produk lain termasuk kek marble dan kek aising serta lebih 50 aneka biskut seperti almond slice, black pistachio, malatops crispy, alahai cookies, blackberry tart, chips knox classic dan conflakes crispy.

Norli berkata, kini syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 30 karton biskut sebulan bergantung kepada permintaan dengan satu karton mempunyai 24 bungkusan biskut.

Manakala bagi makanan sejuk beku pula, syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 50 kilogram sehari.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Norli menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dari segi produk.

“Cuma banyak kes yang melibatkan pelanggan tidak membayar selain daripada masalah banjir.

“Ketika dilanda banjir pada tahun 2007, saya mula mengenali Agro Bank semasa membacanya di akhbar,” katanya.

Semasa itu beliau membuat pinjaman bagi membaik pulih peralatan dan mesin yang rosak akibat ditenggelami air semasa banjir.

Kini Norli boleh berbangga apabila pasaran biskut jenama Nourlie tersebar luas bukan saja di sekitar Batu Pahat di kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan pasar raya malah sehingga ke Lembah Kelang.

“Sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana pasaran biskut saya boleh sampai sehingga dijual di kiosk-kiosk di pasar raya ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau mempunyai 15 orang pekerja yang bekerja selama lima hari seminggu dan lapan jam sehari.

Sehingga kini produknya telah menerima persijilan HALAL daripada pihak berkuasa manakala sedang dalam proses mendapatkan bagi mendapatkan persijilan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Bercerita mengenai perancangan serta harapan di masa akan datang, Norli berharap dapat meningkatkan lagi kualiti produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih luas misalnya sehingga ke negara Timur Tengah.

“Sebelum ini Jabatan Pertanian telah membawa produk saya semasa pameran di China manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah membawa beberapa produk saya ke beberapa pameran di luar negara,” katanya.

Norli menasihatkan usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar jangan menjadikan modal sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Apa yang penting adalah kualiti barangan yang digunakan seperti mentega dan tepung bagi menjamin biskut yang dihasilkan lebih tahan lama.

“Saya sentiasa menggunakan bahan yang bermutu tinggi bagi menghasilkan produk yang bukan saja enak tetapi berkhasiat.

“Selain itu saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memberikan yang terbaik,” katanya.

King Aiman Haruman Ikut Sunnah Nabi

Jajarkan ke Tengah
Sumber : Kosmo online
13/2/11


AIMAN menunjukkan salah satu produk wangian King Aiman semasa promosi yang diadakan di Serdang semalam.


SERDANG - Bosan dengan minyak wangi anda sekarang? Apa kata mencuba minyak wangi kasturi yang dikenali King Aiman. Minyak wangi yang diimport khas dari India itu pasti memberi kelainan kepada anda.

Pengasasnya, Aiman Huzaifah Bakar berkata, empat jenis wangian King Aiman disediakan iaitu, Kasturi Kuning, Kasturi Hitan, Kasturi Putih dan Kasturi Syifa.

"Setiap botol dijual RM20 dan satu set yang mengandungi tiga botol minyak wangi pelbagai jenis dijual pada harga RM60," ujarnya ketika ditemui di tapak Pasar Tani Mega di sini semalam.

Tambah Aiman, antara keistimewaan penggunaan minyak wangi tersebut ialah boleh memberi ketenangan, menghilangkan tekanan, membuang angin dalam badan, mencergaskan minda dan salah satu sunnah Nabi Muhammad.

"Selain mudah dibawa kerana botolnya yang kecil, King Aiman juga boleh dibawa untuk solat dan wangiannya kekal sehingga lapan jam," jelasnya.

Menurutnya, pengguna yang membeli minyak wangi itu juga secara tidak langsung menderma kepada rumah-rumah anak yatim kerana setiap RM1 daripada satu botol yang dijual akan didermakan," katanya.

Bagi yang berminat untuk membeli atau menjadi ejen wangian King Aiman, mereka boleh menghubunginya di talian 017-9859938, Ayob di talian 018-2816454 atau layari laman web www.e-raudhah.com.

Rezeki Usahawan Madu Lebah

Sumber : Kosmo 11/2/11


SHAIFUL HIZAM menunjukkan koloni lebah yang diusahakan di ladang Carambola Bee Farm yang terdapat di beberapa tempat seperti Semenyih, Selangor dan Parit Sikom, Simpang Renggam, Johor.


TIGA tahun lalu, Shaiful Hizam Harman pernah berkobar-kobar untuk menternak burung walit. Namun, hasratnya terbantut apabila dia kekurangan maklumat mengenai penternakan haiwan itu.

Ternyata ada hikmah di sebalik semua itu, kerana selepas puas berfikir dia kemudian memilih untuk menternak lebah madu.

“Sekitar 2007, memang saya terfikir untuk masuk dalam industri pemakanan kerana saya sendiri merupakan pengusaha gimnasium yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Saya lihat masyarakat moden hari ini lebih menitik beratkan pemakanan mereka.

“Bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana selain kekurangan maklumat, saya mendapati permintaan untuk sarang burung itu pun lebih menjurus kepada pasaran China,” katanya.

Permintaan tinggi

Namun begitu, tidak lama selepas itu dia teringat tentang khasiat madu seperti yang pernah dibacanya dalam hadis Rasulullah.

“Saya mula membuat kajian tentang tawaran dan permintaan madu di seluruh dunia. Saya baca laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.

Kebanyakannya mendedahkan permintaan madu dari luar negara sangat tinggi sedangkan pengeluaran bahan itu sangat kurang.

“Seperkara lagi, modal yang diperlukan untuk memulakan industri lebah madu masih kecil iaitu kira-kira RM12,000 berbanding RM250,000 untuk industri sarang burung walit,” katanya.

Selama setahun, Shaiful mula melihat laman-laman web dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu di sekitar Selangor.

Hari ini, usahawan muda itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak.

Lebah bersifat sensitif

“Tidak susah untuk memulakan industri lebah madu. Ia boleh dibuat di belakang rumah atau ditumpang di kebun buah-buahan. Risikonya kurang kerana jika satu koloni lebah diserang penyakit seperti bakteria atau fungus, ia tidak berjangkit kepada koloni yang lain,” katanya.

Pada pendapat beliau, lebah bersifat sensitif, amat mengenang jasa dan setia kepada tuan yang memeliharanya.

“Saya pernah berhadapan dengan kesulitan kewangan pada awal tahun 2009. Apa yang saya buat tidak menjadi. Saya duduk di hadapan kotak-kotak lebah saya dan menceritakan masalah saya. Saya meminta lebah-lebah ini keluar untuk mendatangkan madu dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau hampir menitiskan air mata apabila doanya dimakbulkan Allah, dengan lebah-lebahnya mengeluarkan berkilogram madu.

“Saya hanya berada di kawasan ternakan lebah dua atau tiga kali seminggu. Tetapi mungkin lebih kerap jika perlu menguruskan pemindahan lebah ke tempat baru. Sekali pergi saya akan berada untuk tempoh sejam atau dua bagi menguruskan semua koloni lebah,” katanya.

Antara yang terbaik

Beliau berharap orang ramai agar membuka mata terhadap industri yang amat berpotensi itu.

Di Malaysia, madu yang terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia (sejenis pokok kayu balak), nanas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat.

Ia menyamai madu dari New Zealand yang terhasil daripada lebah-lebah yang terbang mencari manisan dari pokok manuka.

Pada masa ini, Shaiful hanya menjual madu yang dibotolkan dengan jenama Madu Tree secara dalam talian pada harga RM44 bagi 500 gram berbanding RM98 (500 gram) madu yang diimport.

Shaiful menawarkan madu asli dan asas ternakan lebah yang boleh diperoleh melalui laman web http://carambolabeefarm.blogspot.com. – Bernama

25,000 kotak sebulan - Munif Hijjaz S/B

Sumber : metro 9/2/11

MUNIF Hijjaz Sdn Bhd (MHSB) akan terus mengukuhkan jenama Munif Hijjaz Perfume dengan memperkenalkan set wangian terbaru yang didatangkan dalam pek istimewa tiga dalam satu.

Pengarah Urusannya, Abdul Malek Manap berkata, pek berkenaan mengandungi tiga botol wangian dengan satu daripadanya adalah haruman terbaru dalam koleksi Munif Hijjaz Perfume.

“Sebelum ini, produk Munif Hijjaz Perfume didatangkan dalam pek individu dengan pilihan 18 haruman, namun atas sambutan menggalakkan daripada pengguna, kami memperkenalkan pek tiga dalam satu yang turut disertakan dengan haruman terbaru,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, untuk pek baru ini, pihaknya memperkenalkan dua set untuk kegunaan lelaki dan empat set bagi wanita dengan enam haruman terbaru.

“Setiap pek memuatkan haruman berbeza dan ia memberi peluang kepada pengguna untuk menikmati haruman berlainan yang boleh digunakan dalam pelbagai keadaan,” katanya.

Abdul Malek berkata, setiap pek berharga RM34 dan pihaknya meletakkan sasaran lebih tinggi berbanding tahun lalu selepas memperkenalkan pek terbaru berkenaan.

“Setakat ini, pek individu yang dijual mencatatkan jualan sehingga 15,000 botol setiap bulan dan dengan pelancaran pek terbaru ini kami meletakkan sasaran sehingga 25,000 kotak setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran ditetapkan berikutan jenama Munif Hijjaz kini berjaya menembusi pasaran Brunei dan Indonesia.

“Sasaran berkenaan merangkumi penjualan bagi pasaran tempatan, Indonesia dan Brunei di mana sejak awal tahun ini kami mendapat maklum balas positif daripada pengguna di negara berkenaan,” katanya.

Abdul Malek berkata, pihaknya masih memberi peluang kepada individu yang berminat untuk menjadi pemborong Munif Hijjaz Perfume dengan membuat pembelian minimum bernilai RM20,000. Mereka yang berminat boleh menghubungi di talian 019-3330952 atau 03-91055888.

Tauke Otak-Otak


shukor Mansor menunjukkan Otak-otak Batu Pahat yang menjadi kebanggaannya.


WALAUPUN hanya berbekal Sijil Rendah Pelajaran (SRP), ia bukan jalan buntu bagi kehidupan Shukor Mansor, 35 yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor.

Ekoran pendidikan yang tidak tinggi, Shukor mula berdikari dengan bekerja sebagai penebar roti canai di warung.

Pada masa sama dua mula mengikut kawan yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar otak-otak terkemuka di negeri Johor.

Minat yang mendalam dalam pembuatan otak-otak membawa Shukor menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk berkenaan dan keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan di Batu Pahat dan Johor Bharu, Johor serta Melaka.

Hanya berbekal minat yang mendalam dan sedikit modal, Shukor memulakan perniagaan otak-otaknya sendiri di Batu Pahat pada tahun 2006.

Ketika itu dengan modal RM3,000, Shukor membeli sebuah peti sejuk beku sebagai tempat menyimpan produk otak-otaknya.

Bagi memudahkan operasi perniagaan, Shukor mendaftarkan perniagaan di bawah nama Sinar Shukor Enterprise dengan jenama Otak-otak Batu Pahat.

"Pada mulanya memang sukar untuk mendapat kepercayaan pelanggan kerana produk saya masih baru," katanya semasa ditemui di rumahnya di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun dengan galakan daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat semakin menyemarakkan semangatnya.

Tambahan pula dia boleh mendapatkan bahan-bahan mentah daripada masyarakat di sekitar Batu Pahat.

Misalnya Shukor, anak ketiga daripada enam beradik mendapat bekalan daun nipah daripada sepupunya Zamzam Jabir, 42, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat.

Daun nipah yang didapati di tepi sungai Batu Pahat diproses sepanjang enam inci sebelum dibekalkan kepada Shukor bagi industri perniagaan otak-otaknya.

Setiap hari Zamzam membekalkan sekitar 40 bakul dengan satu bakul seberat 10 kilogram (kg).

Manakala bahan mentah lain seperti santan kelapa, herba dan rempah-ratus bermutu tinggi dibeli daripada pembekal di sekitar kejiranannya.

Kini Shukor memerlukan 60 kg santan dan 20 kg lagi bahan campuran lain termasuk rempah ratus dan herba bagi ramuan otak-otaknya.

Bagi mendapatkan rasa yang lain dari yang lain, Shukor mendapatkan ikan tenggiri segar daripada nelayan berhampiran.

Setelah setahun memulakan operasi, perniagaannya semakin meningkat sehingga beliau terpaksa menambah lima buah peti sejuk beku setiap tahun.

Setahun kemudian pada tahun 2008, Shukor mula 'menghampiri' Agrobank berhampiran tempat tinggalnya bagi menambahkan modalnya.

"Ketika itu saya memohon pinjaman MUST Normal sebanyak RM10,000 bagi menambah bilangan peti sejuk beku," katanya.

Kali ke dua pada tahun ini, beliau mendapat pinjaman MUS1M-i sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

Permintaan otak-otak yang semakin meningkat setiap hari daripada peniaga pasar malam, bazar ramadan, ekspo, restoran serta orang perseorangan di Batu Pahat, Muar, Melaka serta Kuala Lumpur menyebabkan Shukor perlu menambahkan bilangan peti sejuk bekunya.

"Secara purata saya menambah lima buah peti sejuk setahun dan kini saya mempunyai 35 buah peti sejuk untuk menyimpan 15,000 keping otak-otak sehari," katanya yang mempunyai lebih 10 orang pekerja.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkatkan, Shukor merancang meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan membina kilang di atas tanah milik keluarganya.

"Ini bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap hari," katanya sedang dalam proses mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkenaan berkaitan dengan modal dan operasi kilangnya.

Biasanya otak-otak akan disimpan di dalam peti sejuk beku secara berdiri sehari semalam sehingga beku sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Ini bagi mengelakkan otak-otak cepat rosak," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan produknya, Shukor berkata maklum balas daripada pelanggan amat penting.

"Ramai pelanggan yang sukakan rasa rempah dan pedas otak-otak keluaran saya," katanya yang berpegang kepada prinsip minat, usaha dan modal untuk berjaya.

Apalah yang lebih membanggakan, kini Sinar Shukor Enterprise banyak membangunkan ekonomi sekitar kawasan Batu Pahat bagi bahan mentah dan tenaga kerja tempatan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai otak-otak Batu Pahat boleh berkunjung ke Parit Kuda, Batu Pahat atau menghubungi Shukor di talian 019-7650713.