Sabtu, 27 November 2010

Keenakan Cendol Wahab


Selain cendol biasa, boleh juga dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti ais krim, kacang merah dan jagung.


SIAPA yang tidak kenal dengan Cendol Wahab. Rasa-rasanya kebanyakan orang Kuala Lumpur tahu di mana hendak mendapatkan Cendol Wahab.

Cendol ini sudah wujud sejak tahun 1986 lagi. Ketika itu, pemilik asalnya, Abdul Wahab Mohd. Ismail hanya berniaga menggunakan beca di tepi-tepi jalan.

Kemudian dia bertukar kepada motor roda tiga. Melihat kepada cendol yang tidak pernah mencukupi setiap hari, Abdul Wahab membeli sebuah van dan berniaga di kaki-kaki lima kedai.

Bagaimanapun, itu pun masih belum mencukupi kerana setiap hari pelanggan semakin ramai membuatkan dia tidak menang tangan.

Oleh itu dua tahun lalu, Abdul Wahab mencari sebuah tapak tetap, iaitu sebuah restoran di Rampai Business Park, Taman Seri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, untuk perniagaan cendolnya.

Jadi tidak perlulah lagi dia berpindah-randah ke sana ke mari. Dengan adanya restoran tersebut, pelanggan boleh menikmati cendol dengan selesa pada setiap masa.

Kini pengurusannya diambil alih oleh anaknya, Mohd. Reza sementara Abdul Wahab sebagai penasihat perniagaan.

''Sebenarnya telah tujuh tahun saya membantu ayah berniaga cendol memandangkan ayah pun sudah tua dan tidak larat lagi,'' kata Mohd. Reza yang ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, sejak adanya restoran itu, perniagaan cendol semakin laris dan restoran sentiasa penuh dengan pelanggan sejak mula dibuka pada pukul 10 pagi sehingga restoran ditutup pukul 1 pagi.

Tambahnya, cendol sekarang bukan hanya dimakan ketika cuaca panas malah waktu malam pun masih ramai yang mahu menikmatinya. Biasanya mereka yang balik daripada bermain futsal, badminton atau pulang kerja lewat akan singgah untuk menikmati cendol sebelum pulang ke rumah.

Menceritakan mengenai keenakan Cendol Wahab, kata Mohd. Reza, resipi asal cendol ini diperoleh daripada kawan bapanya yang juga berniaga cendol.

Kemudian bapanya mengubah sedikit resipi supaya menjadi lebih sedap.

Dia menjelaskan, untuk mendapatkan rasa cendol yang sedap, gula dan santan mestilah pekat.

Dia menggunakan gula Melaka sementara santan yang lemak manis diperoleh daripada kelapa muda.

Walaupun kelapa muda hanya mengeluarkan sedikit santan, rasanya lebih lemak apa lagi ditambah dengan manis gula Melaka. Apa yang penting, santan mesti segar dan tidak dicampur bahan lain.

Selain cendol asli yang cuma dicampur santan dan gula Melaka, terdapat juga pelbagai jenis cendol yang ditambah dengan bahan-bahan lain bagi melazatkan lagi rasanya.

Antaranya pulut, jagung manis, kacang merah, tapai, cincau, bandung, sagu, barli dan ais krim. Pun demikian, cendol asli yang berharga RM2.20 semangkuk masih tetap popular dan menjadi kegemaran ramai.

Kata Mohd. Reza, pada hari-hari biasa restorannya menggunakan sehingga 30 kilogram santan dan bertambah dua kali ganda pada hujung minggu atau jika cuaca panas.

Populariti Cendol Wahab bukan hanya di kalangan penggemar tetapnya, malah sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, rumah terbuka dan sebagainya.

Selain cendol, Restoran Wahab turut mempelbagaikan jenis makanan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Sambil menghirup cendol yang lemak manis itu, pelanggan juga boleh merasai makanan seperti rojak, mi goreng mamak, mi rebus, nasi goreng dan nasi ayam.

Keistimewaan sajian di restoran itu ialah sambal cili merupakan resipi keluarga yang dibuat sendiri oleh ibunya yang berketurunan Pakistan.

Mengenai perancangan masa depan Cendol Wahab, kata Mohd. Reza, dia kini dalam perancangan untuk membeli beberapa buah lori pick-up untuk berniaga di luar serta menambah cawangan Restoran Wahab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan