Ahad, 6 September 2009

Aheng Bongkar Kejayaan Kedai Motorsikal Cina

Pagi ini, sedang saya berkira-kira menjelajah segenap ceruk KL, saya baru teringat tayar motorsikal saya agak "kurang sihat” dua tiga hari ini. Sekejap-kejap kempis. Jenuh saya mengisi angin sampai buncit tayarnya, tapi selang semalaman, tanpa pengetahuan saya, si tayar ini membuang angin pelan-pelan. Pagi besok tengok-tengok dah kempis. Lalu terpaksalah saya membawa "teman setia" saya ke kedai untuk di tukar tiubnya. Lagipun memang sebulan sekali saya perlu menyervice motorsikal saya. Jadi, tak la ralat sangat.

Sampai di kedai motorsikal K.T. Lee yang terletak berhampiran Greenwood, Gombak, kira-kira jam 11 pagi, terkocoh-kocoh pekerja kedai itu mendapatkan saya.

"Lama tarak nampak" sapa pekerja itu yang saya panggil Aheng dengan senyuman penuh mesra. Badannya agak kurus sedikit tapi agak hemsem orangnya.

"Ada… Motor tarak mau rosak. macam mana saya mau datang" jawab saya sambil berseloroh.

Begitulah kemesraan yang terjalin antara kami. Selalu bergurau bila berjumpa. Walau Aheng berbangsa Cina, tapi kemesraannya kadang-kadang mengalahkan orang Melayu. Kerana ini juga penyebab saya menjadi pengunjung setia kedainya.

Motorsikal saya tolak masuk ke dalam. Sambil menungkatnya, saya beritahu apa yang perlu dia buat. Selain service seperti biasa, saya mahu dia tukar tiub sama wayar meter yang telah terputus. Dia angguk saja. Tapi yang merepair motorsikal saya adalah Along, sepupunya yang setia bersamanya sejak 2 tahun lepas, ketika pertama kali saya menjenguk kedainya.

Aheng cuma duduk di kerusi. Peluang ini saya gunakan untuk menyoalnya tentang pekerjaannya. Saya jelaskan saya ada menulis artikel pasal keusahawanan di internet. jadi, alang-alang sudah kenal rapat , dan saya adalah pengunjung tetap kedai motornya, ada baik kisahnya saya canangkan. Nampaknya dia memberi kerjasama yang baik.

Dia merperkenalkan namanya Wong Long Heng. Umurnya hampir 30-an. Sepupunya Wong Long Long yang juga sebaya dengannya. Keduanya belum kahwin. katanya belum cukup modal. Menurutnya, dia hanya pekerja di kedai tersebut. Kedai tersebut milik pakciknya yang tinggal di Johor Bharu. Pakciknya mengamanahkan dia bersama sepupunya menjaga kedai tersebut. Jadi, setiap hari kecuali hari Isnin, dia berulang alik dari Kepong sejauh 15 kilometer ke kedai motorsikal itu menjalankan rutin kerjanya setiap hari yang bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

Ketika saya cuba mencungkil berapa incomenya sebulan, nampaknya dia tidak keberatan berkongsi. Jelasnya, Dia dan Wong Long Long diberi gaji RM1700 sebulan. Cukup untuk belanja bulanan dan sedikit simpanan di bank.

Melihat dia termenung seketika, saya secara berseloroh mengatakan kedai motorsikalnya banyak "masyuk" dan dia juga untung besar. Andaian saya serasa benar atas dasar dulunya, dua tahun lepas kedai itu hanya satu pintu, kini, sejak 6 bulan lepas, kedai tersebut makin membesar dengan tambahan satu pintu lagi. Agak besar dengan keluasan panjangnya 10 kaki dengan lebarnya 7 kaki.

Namun dalam nada kurang gembira, dia membunuh andaian saya sebaliknya.

"mana ada untung maaa... Lu ingat bila ini kedai makin besar, makin banyak untung tatak betul la… Ini kedai sewa mahu bayar RM1200 sebulan. Tapi income tarak pun sampai 500 satu hari. Kalau sewa RM1800 sudah lama kita tutup ini kedai".

"Lu tengok, ini hari lu punya motor 2 orang saja maaa... Itupun income sudah lari. U tarak mahu tukar itu sama tayar…" tingkahnya berseloroh sama sambil menepuk dahinya yang lenjun dengan basahan peluh.

Lantas dia bangun menuju kaunter bayaran mengambil baki bayaran service motorsikal bila melihat kenderaan saya sudah siap dibaiki.

Ketika menghulurkan baki berjumlah RM8 daripada RM50 yang saya berikan, Aheng lagi sekali mengingatkan saya jangan ditulis income kedainya 1000 sebulan. Nanti, katanya orang akan ingat kedai motosikalnya itu sudah kaya.

Ketika saya cuba mengambil gambarnya, dia dan sepupunya, Along cepat-cepat mengelak. Dia tidak mahu dikenali. Katanya, cukup hanya maklumat yang diberikan kepada saya itu.

Along, Aheng dan ramai lagi pekerja di mana-mana kedai motorsikal sama ada berbangsa Melayu atau Cina sebenarnya tiada apa-apa yang istimewa. Mereka diakui cekap bekerja. Tangkas memulihkan mana-mana bahagian motorsikal yang “sakit”. Namun, ada beza besar di antara mereka.

Kerana ada beza inilah yang membuatkan saya menjadi pelanggang setia kedai motorsikal Aheng sejak 2 tahun lepas lagi. Apa yang saya perhatikan, ada beberapa ciri yang baik, yang jarang diberi perhatian oleh mana-mana usahawan kedai motorsikal terutamanya usahawan kedai motorsikal Melayu yang boleh dikongsi supaya kedai mereka boleh terus berjaya.

1. Layanan yang memuaskan.
- Bila saja saya terpacul di kedainya, jarang malah tak pernah saya dibiarkan macam “rusa masuk kampong”. Dengan muka manis dan raut wajah yang ceria, terus ditanya mau baiki apa. Dan, tanpa banyak soal, motorsikal saya dibaiki tanpa berlengah-lengah. Sambil merepairnya, tercetus macam-macam perkara dari mulutnya untuk dibualkan. Cukup menghilangkan kejanggalan saya sepanjang berada di kedainya. Malah saya jadi tambah mesra.

2. Service yang pantas.
- Walau berapa banyak motorsikal yang berderet untuk dibaiki, tapi, apabila saja motorsikal saya perlukan bantuan, dia tanpa banyak bicara, terus melihat apa kerosakan dan terus membaikinya. Namun, strategi yang saya perhatikan, juga diguna oleh kedai motorsikal berbangsa Cina yang lain, adalah dengan mengeluar komponen yang rosak dan meninggalkannya kemudian untuk membaiki motorsikla yang lain. Maknanya, dalam satu masa, mereka boleh membaiki empat hingga lima motorsikal sekaligus. Perkiraan usahawan Cina ini mudah. Walau seringan mana kerosakan motor, hatta hanya untuk menukar tiub, mereka akan tetap lakukan. Mereka akan mengeluarkan tiub, membiarkannya sebelum beredar untuk membaiki motosikal yang lain, dan berpatah balik semula menyaipkan motosikal kita. Maknanya jika mana-mana komponen sudah dikeluarkan, kita tiada pilihan kecuali menunggu sehingga kenderaan kita disipkan. Nampaknya ilmu ni jarang digunakan pakai oleh usahawan kedai motorsikal Melayu menyebabkan seorang demi seorang pelanggang berpotesi dicuri.

3. Peralatan kedai cukup lengkap.
- Oleh kerana namanya pun kedai motorsikal, sepatutnya semua komponen cukup lengkap disediakan. Jika perlu tayar ditukar, macam-macam saiz tayar sama ada ori atau tidak ori sepatutnya ada. Minyak pelincir atau minyak hitam perlu diletakkan banyak-banyak dengan berbagai pilihan harga, dari semurah RM10 hingga RM24. Pendek kata apa saja bersangkutan dengan hal-hal motor, dari sekecil penutup tiub hinggalah kepada enjin motor, termasuk yang kurang bersangkutan seperti helmet perlu cukup setiap masa. Semua ciri ini saya lihat ada di kedai Aheng. Jarang komponen yang saya perlukan kehabisan stok.

Strategi ini boleh kita lihat pada dua kedai runcit yang berbeza. Satu kedai hanya menjual barang kering seperti beras, sabun, ubat gigi, telur dan beberapa barang lain. tapi satu kedai runcit lagi menjual pelbagai barang lengkap, dari barang-barang kering hinggalah barang basah seperti ikan, ayam, sayur dan lain-lain lagi. Kedai ini tentulah lebih besar untuk menempatkan barang-barang yang banyak. Agak-agak andalah, kedai mana yang menjadi pihan ramai. Anda tentu tahu jawapannya.

4. Buat walaupun tiada ganjarannnya.
- Jika saya perlu menegangkan rantai, saya akan ke kedai Aheng. Jika saya perlu mengisi angin tayar, saya juga kadang-kadang singgah di kedai Aheng. kenapa? Sebab Aheng akan segera menegangkan rantai motorsikal saya walaupun dia tahu dia tidak dibayar untuk kerja tersebut. Malah servicenya sama tangkas seperti dia melakukan kerja pembaikan lain yang perlu dicas.

Hal ini juga nampaknya perlu diambilberat oleh usahawan kedai motorsikla Melayu. Walau tidak dibayar, tanpa sedar pelanggang anda akan menilai sikap anda dalam menyelesaikan masalah orang lain. Dan pelanggan tentunya suka kepada sesiapa yang membantunya.

5. Elakkan kedai seperti kenduri arwah.
- Saya lihat banyak kedai motorsikla Melayu yang besikap begini. Maksudnya, ruang kedai dipenuhi oleh orang-orang yang tidak berkenaan. Kebanyakannya kawan-kawan mereka. Hinggar-binggar seperti ada kenduri arwah ataupun ada pesta makan Durian. Risikonya, akan wujud perasaan tidak selesa di kalangan pelanggan yang baru menjejakkan kaki ke kedai anda. Service akan menjadi slow sebab ingin melayani karenah kawan-kawan yang datang berborak-borak. Penumpuan akan jadi berkurangan sebab bising dengan gelak ketawa rakan-rakan mereka. Satu lagi, jika kita berhajat ke kedai tersebut, tetapi melihat ramai orang, apa persepsi kita? Pelanggan ramai. tentu lambat motor dibaiki. andaian yang bersarang di kepala akan diterjemahkan dengan beredar segera mencari kedai lain. Siapa yang rugi? Mereka dan kelauarga mereka juga yang rugi.

Dan sepanjang 2 tahun saya ke kedai Aheng tidak sekalipun saya lihat ada kawannya yang datang “menggangu”. Sebab itu servicenya menjadi lancar dan memuaskan.
Bagi saya, Kedai motorsikal jagaan Aheng dan Along ada potensi untuk maju.

Ada empat perkara penting yang mencukupkan syarat sesebuah perniagaan boleh maju.

1) Lokasi
2) Barang yang diniaga
3) Masa
4) Service

Ambil contoh kedai motorsikal Aheng dan Along. Kedai motorsikal mereka terletak di Grenwood, Gombak, berhampiran dengan deretan kedai makan yang hampir setiap masa dipenuhi orang ramai.Meraka pula menyediakan service membaiki motorsikal, kenderaan yang saya pasti ada menjalar di setiap laman rumah. Masa tak menjadi soal. sehingga malampun, masih ada yang meminta dibaiki kenderaan mereka dan kerana itu, Aheng sanggup membuka kedai sehingga pukul 9 malam. Service tentulah di tahap yang bagus sebab saya sendiri mengalaminya. Saya juga pelanggan setia sejak dua tahun lepas. Aheng dan Along jarang menghampakan saya.

--------------------
**Em..Em..Em.. .Aheng…harap dapatlah tayar free ke, minyak hitam free ke, takpun diskaun menggila ke buat sang penulis ni. Takkan puas membodek, pulang tangan kosong je kot. :-(



Kedai Motorsikal K. T Lee dari 1 kedai membesar kepada 2 kedai. Bertambah maju. Salah satu kedai yang menyediakan service membaiki motorsikal terbaik di Gombak.


Bermacam-macam komponen motorsikal ada di kedai K.T Lee. Cukup Lengkap. Tak Perlu risau kehabisan stok.


Rupanya Aheng dan Along kuat beragama. Lihat tempat sembahyang mereka pun diusung ke dalam kedai. Bertuah cik amoi yang dapat memikat kedua-dua jejaka hemsem ini.


Inilah "teman setia" saya ke mana saja saya berkelana di luar. Tapi sejak akhir-akhir ini sering saja "buat hal". Mungkin dia tidak tahu akibat buruk kalau cuba-cuba menderhaka kepada tuannya.
-----------------

2 ulasan:

  1. Salam

    Terima kasih kerana senaraikan syahrulnizam.com dalam senarai sahabat tuan.

    www.syahrulnizam.com

    BalasPadam
  2. kedai tu dh pindah. taw alamat baru diorg??

    BalasPadam