Ahad, 11 September 2011

Jatuh Bangun Usahawan Roti


Wan Khadijah Othman menunjukkan aneka roti dan kek keluaran syarikatnya.



TIDAK pernah terlintas di fikirannya untuk terlibat dalam dunia perniagaan. Tambahan pula, di kalangan ahli keluarga tiada seorang pun memilih menceburi bidang itu.

Namun, bagi Wan Khadijah Othman, 39, penglibatan dalam perusahaan membuat roti berlaku secara kebetulan.

Segalanya bermula ketika dia menemani seorang rakan mendaftar kursus perniagaan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur beberapa tahun dahulu.

''Waktu itu, salah seorang pegawai Mara yang bertugas meminta saya turut menyertai kursus berkenaan.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju.

''Kursus jangka panjang yang dikenali sebagai Latihan Pembentukan Usahawan Mara itu dijalankan selama enam bulan.

''Sejak menyertainya, saya mula membuka mata dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan perniagaan,'' katanya yang pernah bertugas di salah sebuah bank sebelum terlibat secara serius dalam dunia perniagaan.

Setelah tamat kursus, Wan Khadijah cuba mencari peluang-peluang perniagaan yang sesuai untuk diceburi.

Tahun 2002 menyaksikan dia mula membuat penyelidikan tentang potensi dan kelebihan berniaga roti.

''Saya memilih perusahaan roti kerana tidak ramai pengusaha bumiputera terutama orang Melayu terlibat dalam perniagaan ini.

''Saya memang tiada ilmu langsung mengenainya. Jadi, sebelum memulakan perniagaan ini, saya banyak membuat kajian mengenai peluang pasaran selain mengambil tahu apa yang pelanggan mahu.

''Melalui pinjaman modal daripada Mara bernilai RM40,000, saya memulakan perniagaan membuat roti secara kecil-kecilan di rumah,'' jelasnya ketika ditemui di kilangnya di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Bukan setakat itu, dia turut mengambil bekalan roti sejuk beku daripada beberapa syarikat lain sebelum membakar dan menjualnya semula.

Bagi melancarkan urusan perniagaannya, dia menyewa sebuah kedai kecil di Kota Damansara dengan kos RM600 sebulan.

''Untuk tempoh lapan bulan pertama, saya terpaksa menanggung kerugian kerana ketika itu saya belum begitu mahir dengan operasi pengiraan kos selain tidak memahami saiz pasaran dan kehendak pengguna.

''Selepas lebih kurang setahun, perjalanan perniagaan semakin stabil dan saya mengambil keputusan untuk menyewa sebuah kilang kecil di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

''Rezeki saya bertambah murah apabila mendapat tender membekalkan roti kepada Kelab Diraja Selangor di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan kafe di Universiti Malaya (UM),'' jelas ibu kepada dua orang anak itu.

Usaha Wan Khadijah tidak terhenti setakat itu, dia turut memasarkan produk roti buatannya di pasar malam berhampiran dengan pendapatan antara RM250 hingga RM350 sehari.

''Pengalaman berniaga di pasar malam banyak mengajar saya tentang ilmu perniagaan daripada segi kekuatan semangat dan keazaman,'' katanya.

Dia kemudian mendaftarkan perniagaannya di bawah syarikat Lovely Cake Enterprise pada 2002 sebelum ditukar kepada Tanjung Cindai Sdn. Bhd. setahun kemudian.

Kesemua produk kek dan rotinya pula dikeluarkan menerusi penjenamaan Wan Bakers.

Walaupun perniagaanya telah stabil ketika itu, dia yang berperanan sebagai Pengarah Urusan masih terus mempelajari teknik pemasaran dan promosi syarikat.

Dalam usaha memperluaskan perniagaannya pula, dia telah menjual kesemua mesin pembuat roti bersaiz kecil yang terdapat di kilangnya.

Tujuannya untuk menampung deposit pembelian bangunan kilang lebih besar dan dijadikan modal membeli mesin lebih canggih.

Menurut Wan Khadijah lagi, kilangnya kini mempunyai lebih 15 mesin sokongan operasi pembuatan pelbagai jenis roti.

Beberapa tahun selepas itu, dia telah membuat pinjaman modal sebanyak dua kali daripada pihak Agrobank dengan nilai RM20,000 setiap satu.

Dana yang diperoleh menerusi skim Pinjaman Mikro Modal Usahawan Tani (MUST), Agrobank digunakan untuk memperbesarkan operasi kilangnya.

''Selain kilang di Industri Jaya Sungai Buloh ini, kita turut mempunyai sebuah lagi kilang membuat roti di Batu Caves, Selangor,'' katanya yang mempunyai 23 orang kakitangan.

Isnin, 30 Mei 2011

Sup Power Bariani Power House


Nasi beriani gam daging yang menjadi pilihan pelanggan.


Dilihat dari luar, mungkin ramai di kalangan pelanggan akan terkeliru sama ada restoran ini hanya menyediakan nasi beriani sahaja berdasarkan papan tanda yang terpampang tertulis Bariani Power House.

Sebenarnya, restoran ini menyediakan lebih daripada itu. Semua dalam satu adalah perkatan yang tepat untuk melabelkan restoran yang terletak di 109, Jalan USJ 1/4G, Subang Mewah, Selangor ini.

Sebut sahaja apa yang dihajati, semuanya akan tersedia di hadapan mata. Dari nasi lemak, nasi lemak berkukus, bihun dan sebagainya untuk waktu sarapan pagi, sehinggalah ke lauk-pauk kampung di tengah hari dan goreng-gorengan, masakan ala barat dan Thai di waktu petang dan malam.

Tidak ketinggalan bagi penggemar masakan Cina, boleh juga didapati di sini, termasuk rojak, aneka sup, aneka mi, bihun sup, ikan kukus, sate dan pelbagai lagi.

Menurut pengurus restoran, Mariyana Abdullah, ini merupakan restorannya yang ketiga dan baru dibuka sebulan lalu, namun telah dapat menarik perhatian pelanggan sekitar Subang Jaya.

''Restoran ini dibuka seawal pukul 6 pagi bagi mereka yang mahu bersarapan dan akan ditutup pada pukul 2 pagi.

''Selain nasi beriani gam yang menarik perhatian setiap pelanggan yang datang, sup power juga menjadi permintaan mereka, selain beriani gam ayam dan kambing," jelasnya yang mempunyai 11 orang pekerja.

Dibantu anak-anak dan suami, Ahmad Zailan Zainuddin, bekas chef dari sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu memberitahu, restorannya juga menyediakan skrin gergasi bagi pelanggan yang mahu menonton bola .

''Saya mahu menjadikan restoran ini satu tempat beristirehat untuk sekeluarga. Bagi mereka yang mahu menjadikan restoran ini sebagai lokasi mengadakan majlis hari jadi, kenduri-kendara, keraian dan sebagainya, mereka dialu-alukan berbuat demikian kerana restoran ini mempunyai ruang yang agak luas untuk majlis-majlis seperti itu dengan potongan 20 peratus untuk setiap jamuan.

''Selain ruang yang luas, di sini juga terdapat sistem audio, termasuk skrin projektor dan karaoke yang boleh digunakan oleh setiap pelanggan pada malam hari secara percuma," tambahnya.

Apa yang menariknya, para pengunjung yang datang ke sini akan terleka sebentar melihat barangan antik seperti radio, mesin taip, seterika lama dan sebagainya yang diletakkan di satu sudut sebagai perhiasan di restoran itu.

Menurut Mariyana restoran ini juga menyediakan hidangan sihat untuk para pengunjung yang mahu berdiet antaranya sup sayur istimewa.

Selain menjamu selera di sini, Mariyana memberitahu, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan katering untuk semua jenis jamuan termasuk untuk majlis perkahwinan.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan katering dan mengunjungi restoran ini boleh hubungi talian 019-463 4156 atau 016-230 6694.

Nabil Pelopori Makanan Jepun Halal


CALIFORNIA ROLL


MAKANAN Jepun kini semakin menambat hati masyarakat di negara ini. Ia diminati memandangkan dikategorikan sebagai makanan sihat kerana bahannya dihasilkan daripada makanan laut.

Bagaimanapun dalam keseronokan mencuba makanan Jepun, umat Islam tidak boleh mengenepikan begitu sahaja faktor halal haram bahan-bahan yang digunakan.

Umat Islam perlu berhati-hati kerana penggunaan sake dan mirin yang mengandungi alkohol adalah bahan utama dalam setiap makanan Jepun.

Sake ialah sejenis alkohol yang dihasilkan daripada proses penapaian beras. Mirin pula adalah alkohol yang dicampurkan dengan bahan manis yang juga dilabelkan sebagai alcohol bean.

Kedua-duanya digunakan antara 70 hingga 80 peratus dalam makanan Jepun.

Berikutan itu, atas kesedaran ini anak muda yang berasal dari Alor Setar, Kedah, Chef Nabil atau nama sebenarnya Mohd. Nabil Md. Salleh, 27, mengambil inisiatif untuk menyediakan makanan Jepun yang halal.

Malah Nabil turut sedia berkongsi dengan sesiapa sahaja di kalangan rakyat Malaysia supaya dapat menyediakan makanan Jepun yang halal.

"Sesiapa sahaja akan dianggap 'biadap' oleh masyarakat Jepun jika mengubah suai makanan mereka. Tetapi usaha untuk menyediakan makanan halal memang menjadi tanggungjawab setiap umat Islam,'' katanya.

Jelas anak muda itu, sebenarnya bahan tidak halal itu walaupun dikatakan sebagai penyedap utama makanan Jepun tetapi jika diabaikan masih tidak menjejaskan rasanya.

''Penggunaan arak dan cuka tidak halal itu masih boleh ditukarkan dengan bahan lain sekali gus menjadikan makanan Jepun yang dihasilkan tetap mempunyai rasa enak dan dimakan tanpa was-was,'' katanya.

Nabil sebenarnya mempunyai pengalaman menyediakan lebih 30 jenis masakan Jepun termasuk maki sushi, temaki, nigiri sushi dan soba.

Nabil berkelulusan diploma dalam bidang masakan di salah sebuah insitusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini berkata, sikap orang Jepun yang terkenal dengan adat resam yang tinggi turut dibawa kepada penyediaan makanan.

''Sebagai contohnya pembuatan sushi memerlukan tumpuan yang tinggi di mana cara mengepal nasi juga mempunyai teknik yang betul,'' katanya.

Jelas Nabil, dia sendiri mengambil masa selama tiga tahun untuk benar-benar mahir dalam masakan Jepun.

Bagaimanapun katanya, kelas yang bakal diadakan itu bukan sahaja pesertanya boleh menyediakan makanan Jepun malah sudah layak untuk membuka perniagaan sendiri.

''Sekurang-kurangnya ini akan dapat memberi peluang kepada masyarakat menikmati makanan Jepun halal,'' katanya.

Jelasnya, antara kursus masakan Jepun Tahap 1 yang paling utama iaitu mengajar cara memasak nasi sushi.

''Jenis masakan yang akan diajar termasuk nigiri sushi (kani maki sushi, ebi sushi dan inari), gunkan sushi inari (kani mayo inari dan inari boat tuna), gunkan seaweed (kani mayo seaweed dan tuna mayo seaweed), maki sushi (kappa maki, kani kama maki dan tamango maki) dan temaki (tuna mayo temaki dan California temaki),'' katanya.

Beliau berkata, kelas masakan Jepun Tahap 1 akan diadakan di Akademi Chef Gallery, No: 6, Rembau House, Lorong Maarof, Bangsar Park, Kuala Lumpur.

Katanya, Akademi Chef Gallery adalah milik Chef Datuk Ismail Ahmad dan Datuk Sheikh Muzaffar Shukor yang mengusahakan Restoran Rebung.

Katanya, kursus pertama masakan Jepun itu akan diadakan pada 21 Mei, 28 Mei dan 4 Jun 2011 yang hanya menggenakan bayaran RM550 setiap seorang (makan, minum serta bahan mentah disediakan).Sesiapa yang berminat boleh hantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke nombor 017-4670595 atau email admin@chefnabil.com dan melayari www.chefnabil.com untuk keterangan lanjut.

Katanya, peserta perlu membayar RM100 sebagai wang pendahuluan dan baki boleh dibuat semasa hari pendaftaran.

Wanita Penjual Curut




NORAZIRA MOHD. NOOR, 30, tidak semberono menjalankan perniagaan yang di luar jangkauan pemikiran seorang wanita. Dia memberitahu, ramai yang menempelak dan tidak kurang yang skeptikal dengan opsyen bisnes pilihannya. Kata Norazira, pandangan negatif yang ditebarkan itulah yang dijadikan sebagai asas untuk lebih maju ke depan.

Mengapa membuka perniagaan menjual curut? Balas Norazira: “Saya rasa, saya ada kemampuan, wanita zaman sekarang sudah berubah, kita perlu mencari kelainan dalam bisnes. Apabila kita melakukan sesuatu yang luar biasa, ia sebenarnya adalah satu tarikan untuk mempopular dan memantapkan bisnes kita.”

Jawapannya bukan sesuatu yang klise. Dia ada aura untuk menjadi usahawan wanita yang terkemuka suatu hari nanti.

Sememangnya wanita ini mengenali intipati dan susur galur bisnes curutnya. Dia memperkenalkan kepada penulis beberapa jenama curut yang menjadi tumpuan dunia.

Curut asli Havana

Dia membawa penulis ke kedainya yang bernama World Of Cigar di The Mall, Kuala Lumpur.

Beritahu Norazira, jenama yang menjadi kegilaan ramai dalam kalangan kaki curut ialah Cohibba, Montecristo, Pomeo Julieta, Hoyo Epicure Especial, Ramon Aliones, Trinidad dan Punch. Jenama-jenama itu yang juga tidak asing kepada rakyat di negara ini terdapat di kedainya.

Lazimnya, dia memberitahu, sekotak curut yang mengandungi 25 batang curut, berharga antara RM1,600 hingga RM1,800. Namun, jika ada pelanggan yang mahu membeli pada kapasiti yang kecil, Norazira mengalu-alukannya.

Seorang penghisap curut yang kurang tegar, boleh mendapatkan sebatang curut pada harga RM25 hingga RM200 di kedai wanita.

“Kesemua curut ini asli-asli belaka kerana saya mengimportnya khas dari Havana, Cuba,” katanya yang turut menjalankan bisnes kecantikan.

Cuba adalah lokasi utama pembuatan curut dunia. Memetik satu laporan, negara itu sangat berhati-hati dalam menghasilkan curut bagi mengelak terjadinya usaha memplagiat ramuannya.


BAGI seorang penghisap curut tegar, peralatan ini antara yang wajib dimiliki dan harganya ada mencecah ribuan ringgit mengikut jenama.


Sebelum pergi lebih jauh, Norazira menceritakan pembabitan awalnya dengan bisnes ini.

Dengan gaya penuh karakter, beritahu Norazira: “Pada asalnya, saya hanya tolong kawan-kawan saja, kemudian saya jual secara kecil-kecilan.

“Namun, apabila melihat saya mempunyai pelanggan tetap, saya mula terfikir, mengapa saya tidak buka perniagaan ini pada skala yang lebih besar,” katanya yang memulakan perancangan bisnesnya sejak dua tahun lalu dan menyimpan sejumlah wang untuk membangunkan perniagaannya.

Bagaimanapun, misi Norazira tidak dilaksanakan secara sendirian. Dia bersama-sama dua rakan kongsi membuka perniagaan di sebuah kedai di pusat beli-belah The Mall.

Norazira melihat potensi bisnes yang dijalankannya cukup cerah. Mengapa? Kata Norazira, curut khususnya yang berjenama dan berkualiti tinggi hanya dijual di hotel-hotel dan kompleks beli-belah terkemuka sahaja.

Menariknya lagi tentang perniagaan ini, Norazira mengamalkan konsep penghantaran secara pos.

“Tempat untuk golongan pertengahan yang ingin menghisap curut sangat terhad. Maka, kedai saya ini adalah platform terbaik kepada mereka yang ingin mencuba,” katanya.

Barangkali agak sukar memisahkan stigma bahawa curut ini sinonim dengan golongan mewah seperti orang kenamaan dan ahli politik yang biasanya menghisapnya di lokasi-lokasi mewah.

Dalam hal ini, Norazira tidak menafikan bahawa ada juga pelanggannya terdiri daripada golongan sebegitu.

Wanita itu memberitahu, cara seseorang memegang curut, secara psikologinya membolehkan seseorang wanita mengenali karakter kaum Adam.

Kedai Jahit Punca Rezeki


Sharifah surit (kanan) melayan seorang pelanggan yang menempah baju di Sheerah Collection di Kota Warisan, Sepang, Selangor.


MENELUSURI kisah asnaf kadangkala menimbulkan kekaguman dan keinsafan. Pada susuk tubuh yang zahirnya lemah, namun sebenarnya mampu menghadapi ujian demi ujian.

Bukan mudah menanggung kehidupan andai orang yang menjadi tempat bergantung hidup pergi buat selama-lamanya. Apatah lagi kala itu jugalah anak kelima baharu sahaja dilahirkan.

Semuanya harus ditangani sendirian. Membesarkan anak-anak tetapi pada masa sama juga perlu mencari rezeki.

Semua itu yang perlu dilalui dan diharungi Sharifah Surit, 46. Suaminya, Mohd. Alim Sani dijemput menemui Allah pada tahun 2003 dalam usia yang begitu muda iaitu 34 tahun.

"Sebulan lamanya saya merasakan seperti berjalan tidak memijak bumi. Terawang-awang bagai hilang pegangan. Hanya Allah yang Maha Tahu apa perasaan saya kala itu," katanya.

Sharifah agak bertuah kerana allahyarham suaminya merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), maka dia telah ditawarkan berkerja sebagai kerani di MBSA.

"Namun saya tidak dapat memenuhi tawaran itu atas sebab-sebab tertentu. Dek kerana penolakan saya itu, maka saya dan anak-anak mesti mengosongkan kuarters MBSA kerana sudah hilang kelayakan.

"Akhirnya, saya nekad dan berhasrat membawa diri bersama keluarga kembali ke kampung asal di Teluk Intan, Perak," ujarnya.

Namun Sharifah adalah ibu tunggal yang tidak betah membiarkan kesuraman hidup memagari diri dan anak-anaknya.

Demi memastikan masa hadapan anak-anak tidak terus dirundung murung. Dia mencari jalan membina kekuatan. Ibarat aur di tebing sungai, biar banjir tetap kukuh tidak roboh, itulah tekad Sharifah dalam membina kehidupannya.

"Semasa di Shah Alam, saya sempat menyertai Persatuan Ibu Tunggal. Berkat bersama persatuan, saya mendapat banyak maklumat.

"Persatuan memberitahu bahawa saya boleh memohon rumah bagi kalangan ibu tunggal yang terletak di Sepang. Saya berfikir, daripada pulang ke kampung tanpa persiapan lebih baik saya berhijrah ke Sepang.

"Lagi pun tidak sanggup rasanya menggalaskan segala kesusahan ini kepada orang tua di kampung. Mereka sendiri pun sudah jerih menjalani kehidupan," tambahnya.

Saat menghimbau kenangan lama, terselit sendu dalam cerita Sharifah.

"Setelah berpindah ke kawasan perumahan baru, saya diterima menjadi pembantu tadika swasta. Gajinya hanya sekitar RM300 tetapi saya sanggup.

"Lagi pun saya memang mempunyai sijil dan kelayakan. Oleh kerana keadaan mendesak, maka saya terpaksa membawa anak-anak ke tadika. Maklumlah, siapa yang akan menjaga anak-anak saya di rumah.

"Malangnya, perbuatan saya ini tidak disenangi oleh majikan. Beliau tidak membenarkan saya membawa anak-anak ke tadika, kerana katanya ia mengganggu tugasan saya. Biasalah, anak kecil adakalanya menangis. Lalu saya diberhentikan, walaupun hakikatnya saya amat memerlukan mata pencarian," luah beliau.

Maka, untuk meneruskan tatih hayatnya Sharifah melakukan apa sahaja kerja yang terdaya asalkan halal di sisi agama.

Antaranya pernah menjadi pencuci di sekolah, bekerja di kedai elektrik dan membuat kuih-muih untuk dijual.

Namun, Allah SWT pasti menolong orang yang menolong dirinya sendiri. Ini janji Allah sejak azali yang Sharifah yakini.

"Nasib saya mula berubah apabila seorang kenalan yang semasa itu telah dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), menyarankan saya agar memohon bantuan.

"Saya masih ingat, kebetulan satu petang saya berjalan sambil membawa anak-anak balik daripada berjualan.

"Ketika itu, ada wakil LZS sedang menjalankan pemantauan di kedai rakan saya itu. Melihatkan keadaan saya yang agak daif kala itu, mereka terus menawarkan agar saya dibanci dan dimasukkan sebagai asnaf zakat.

"Ia berlaku pada tahun 2004. Maka, bermula dari tahun itulah saya mulai merasai sinar kebahagiaan menyingsing dengan lebih terang dalam kehidupan.

"Sukar untuk digambarkan betapa bantuan zakat sebenarnya amat menjanjikan perubahan dan harapan. Khususnya kepada anak-anak. Saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan LZS," kata Sharifah.

Realitinya, LZS bukan sekadar talian hayat bagi golongan seperti Sharifah, bahkan LZS menawarkan sesuatu yang lebih jika mereka mempunyai wawasan dan keazaman untuk berubah.

"Saya mesti berubah. Maka, segala peluang yang disediakan sama ada oleh LZS mahu pun pihak kerajaan akan saya rebut. Jika diikutkan, sejak menjadi asnaf zakat sudah banyak kursus yang saya ikuti. Misalnya kursus keusahawan, kursus jahitan dan sebagainya lagi.

"Alhamdulillah, LZS optimis dengan usaha saya. Lalu pada tahun 2008, LZS membekalkan mesin jahit tepi dan mesin jahit lurus.

"Saya manfaatkannya dengan menjalankan perniagaan kedai jahitan. Pada awal 2009, pihak kerajaan telah menyalurkan sebuah lagi mesin jahit lurus kepada saya dan ia dapat membantu banyak kerja saya di kedai jahit," jelasnya.

Kini, Sharifah bercita-cita memajukan dirinya sehingga dapat mengeluarkan dirinya daripada belenggu kemiskinan.

Kedai jahitannya di Kota Warisan, Sepang hari ini menjadi tumpuan ramai tanpa mengira bangsa. Beliau turut dibantu seorang pekerja tetap dan dua pekerja sambilan.

Kedai jahitnya menerima semua jenis tempahan pakaian, termasuklah juga jahitan ubah suai dan apa-apa yang berkaitan.

"Saya amat bersyukur kepada Allah. Zakat telah banyak membantu saya. Kepada semua pembayar zakat, saya berdoa Allahmembalas amalan mereka dengan pahala yang berlipat kali ganda, ditambahkan rezeki dan diberikan keberkatan hidup.

"Dengan berpegang kepada prinsip menjaga hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah, saya yakin saya akan berjaya. Yang utama, saya mesti rajin berusaha, berdoa dan disusuli rajin mengambil peluang. Doakan saya semoga berjaya," katanya.

Sheerah Collection boleh dikunjungi di Kota Warisan, Sepang atau hubungi 017-6224329.

Nur Ayuni Reka Kasut Melalui Internet


Segala rekaan yang dihasilkan Nur Ayuni Azri akan terus dilakarkan di dalam komputer ribanya.


NAMANYA mungkin tidak setanding Jimmy Choo mahupun Zhang Toi, namun Nur Ayuni Azri, 21, berkongsi minat yang sama dengan dua pereka tersohor ini - iaitu mencipta kasut-kasut yang cantik.

Bidang rekaan kasut di negara ini sememangnya semakin diminati malah kian ramai anak muda yang mencuba nasib lebih-lebih lagi dengan adanya kursus-kursus rekaan kasut untuk mendalami lagi ilmu tersebut.

Bagi Nur Ayuni dorongan minat membuatkan dia berjinak-jinak dengan dunia rekaan kasut biarpun secara sambilan.

Ini kerana, anak kelahiran Kuala Lumpur ini masih menuntut di salah sebuah kolej swasta di ibu negara dalam jurusan kejuruteraan perisian.

Walaupun bidang yang dipelajari amat berbeza dengan kerjaya sambilannya hari ini, ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada Nur Ayuni malah beliau aktif menghasilkan rekaan kasut yang unik dan cantik sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman SPPK, Kuala Lumpur, Nur Ayuni bercerita bahawa dia menceburi bidang rekaan kasut tanpa sebarang pengetahuan khusus dalam bidang tersebut.

Bagaimanapun oleh kerana minat yang terlalu tinggi dan mendalam, ilmu mereka cipta kasut sanggup dipelajarinya melalui Internet.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang rekaan kasut, Nur Ayuni memberitahu bahawa dia merupakan seorang yang suka membeli belah melalui Internet.

Sebelum itu pun, Ayuni pernah menjual kasut dari China tetapi tidak lama kerana ada masalah dari segi saiz dan kadang kala ada kasut yang diperbuat daripada kulit babi.

Selepas berhenti sebentar dan akhirnya dia mula terfikir untuk berniaga semula tetapi kali ini lebih serius.

''Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman apatah lagi pengetahuan dalam bidang perniagaan, tetapi kerana minat yang mendalam, saya pelajari juga melalui Internet.

''Bagaimanapun, sebelum melibatkan diri secara serius dalam bidang rekaan kasut, saya terlebih dahulu membuat kajian dan penyelidikan apakah rekaan dan fabrik yang digemari pengguna.

''Alhamdulillah, segala penat lelah selama ini berbaloi dan apabila rekaan saya berada di pasaran (online), sambutannya amat menggalakkan dan ia di luar dugaan,'' ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Berbicara lebih lanjut mengenai pemilihan fabrik, Nur Ayuni gemar membeli fabrik dari Indonesia kerana, selain murah, coraknya pelbagai dan cantik serta lain daripada yang lain.

Sementara itu, setiap kasut yang dihasilkan rekaannya adalah ilham daripada hasil bacaan majalah dalam negara ataupun luar negara dan tidak ketinggalan Internet.

Menamakan rekaannya YMS Koleksi, setiap satu rekaan yang dihasilkan adalah eksklusif dan hanya terdapat 50 pasang untuk setiap rekaan.

Boleh didapati pada harga terendah RM140 dan termahal RM200, YMS koleksi hanya boleh dibeli secara online dan bagi mereka yang ingin melihat koleksi-koleksi Ayuni bolehlah layari www.youmeandshoes. blogspot.com atau melalui laman sosial Facebook you, me and shoes.

Dijahit oleh tukang jahit tempatan, Nur Ayuni turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

''Untuk setiap rekaan, saya memerlukan sebulan bagi menyiapkannya dan saya turut menerima tempahan mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.

"Bagaimanapun, pelanggan juga boleh memilih rekaan yang telah sedia ada,'' katanya mengakhiri perbualan.

Robiah Berniaga Berbekalkan Ilmu


Antara produk yang diperkembangkan oleh Robiah dalam perniagaan.


ADA orang pernah kata, jika nak menjadi seorang peniaga, tidak perlulah belajar tinggi-tinggi. Cukup sahajalah berbekalkan pengalaman dan ada modal.

Mungkin pepatah ini tidak lagi sesuai di zaman ini memandangkan tanpa ilmu agak sukar untuk kita bergerak dengan lebih jauh kerana persaingan di dalam dunia perniagaan sememangnya sengit.

Begitu juga dengan Pengarah Haida Health & Beauty Centre, Robiah Huri, 38, sanggup mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Spa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini selama dua tahun secara sambilan demi mengejar ilmu.

Robiah atau lebih dikenali sebagai Ruby ini berkata, walaupun ketika itu beliau sibuk kerana baru membuka Haida Health & Beauty Centre pada tahun 2006 tetapi itu semua bukan alasan.

''Sepanjang pengajian ini saya bukan saja belajar cara menguruskan perniagaan spa malah turut menimba ilmu dalam perkhidmatan yang biasa ditawarkan oleh spa seperti fisiologi, anatomi, refleksologi, rawatan selepas bersalin dan juga terapi urutan," katanya ketika ditemui di LG 25 Maju Junction Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ruby berkata beliau bersemangat untuk belajar kerana mempunyai cita-cita membuka spa bagi mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

Ini kerana pada masa itu Ruby hanya membuka perniagaan menjual barangan produk kesihatan dan kecantikan berasaskan gamat dengan menyewa sebuah lot kedai.

''Sebelum itu saya menjual produk ini hanya menyewa gerai kecil berdekatan kawasan pasar raya," katanya.

Bagaimanapun beliau mula merasakan perlu membuka kedai memandangkan jumlah pelanggan semakin meningkat. Jelas Ruby sebelum itu beliau memang mempunyai pengalaman menarik berkaitan dengan penggunaan produk ini.

''Produk ini diperkenalkan oleh salah seorang ahli keluarga selepas saya keguguran dan ia memang berkesan kerana selepas saya semakin pulih dan sihat semula," katanya.

Semenjak itu, Ruby berjinak-jinak menjual produk gamat ini walaupun pada mulanya hasratnya untuk berhenti kerja bank bagi menumpukan masa kepada anak-anak.

Minat itu yang mendorong Ruby belajar di UTM di atas tajaan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) yang memberi peluang peniaga sepertinya untuk menimba ilmu dalam bidang yang ingin diterokai.

Selepas tamat pengajian Ruby mula mengubah suai sebahagian ruang lot kedai sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan spa.

Pada ketika itu Ruby hanya mempunyai dua buah katil dengan dibantu oleh dua pekerja sahaja.

''Kini spa ini semakin berkembang di mana saya telah menyediakan lima katil untuk memberikan rawatan lima pelanggan sekali gus oleh lima pekerja iaitu tiga mahir dalam urutan dan dua lagi untuk merawat kecantikan," kata ibu kepada lima anak ini.

Sebagai orang yang memahami rentak perniagaan dengan berbekalkan dengan ilmu yang ada, Ruby memberitahu spanya bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kecantikan tetapi lebih 'spa untuk rawatan kesihatan' yang bermula dari dalaman.

Sehubungan itu, katanya, teknik urutan yang ditawarkan oleh spa miliknya juga berusaha untuk menyembuhkan penyakit seseorang.

''Badan seseorang perlu diurut bagi membolehkan darah berjalan dengan lancar dan akan membuatkan seseorang itu lebih sihat dan segar," katanya.

Selain itu, katanya perkhidmatan lain yang disediakan termasuk rawatan menguruskan badan dengan teknik urutan dengan penggunaan produk La Ara Beauty Solution keluaran tempatan yang dihasilkan dari bunga rosell, asam keping dan juga kollagen daripada ikan.

Katanya, gabungan tiga bahan ini bukan sahaja dapat menguruskan badan sambil menjadikan kulit tegang.

Jelas Ruby untuk mendapatkan keterangan lanjut berhubung dengan rawatan yang disediakan boleh menghubunginya di talian 03-26931279 atau 017-6756679 atau melayari www.haidahealinghouse.blogspot.com.